Friday, September 10, 2010

Gereja batal kempen bakar al-Quran.

WASHINGTON, 10 Sept — Di sebalik tekanan dari dalam dan luar Amerika, Pastor Terry Jones dari Florida membatalkan kempennya mahu membakar al-Quran yang dijadual untuk dilakukan esok sempena ulang tahun kesembilan memperingati serangan pengganas 11 September.

Jones, pastor sebuah gereja kecil di Gainesville mengumumkan keputusan itu pada sidang media di Florida semalam, yang turut dihadiri Imam Muhammad Musri dari Islamic Society of Central Florida.

Beliau juga mendakwa pemimpin-pemimpin Islam telah bersetuju untuk menggugurkan projek membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan 11 September 2001.

Dipetik Reuters, Jones (gambar) berkata beliau mendapat jaminan daripada Muhammad Musri tentang pendirian masyarakat Muslim.

Jones turut meminta mana-mana kumpulan lain agar tidak membakar al-Quran dan beliau akan terbang ke New York esok untuk mengadakan pertemuan dengan Imam Feisal Abdul Rauf, yang mengetuai projek pembinaan itu.

Bagaimanapun laporan menyusul berkata, Feisal menafikan kenyataan Jones bahawa satu perjanjian telah dicapai untuk memindahkan tapak projek pembinaan pusat dan masjid.

“Saya gembira kerana Pastor Jones telah memutuskan untuk tidak membakar al-Quran,” kata Feisal dalam satu kenyataan dikeluarkan di New York.

“Bagaimanapun, saya tidak bercakap dengan Pastor Jones atau Imam Muhammad Musri (dari Florida). Saya terkejut dengan pengumumman mereka.

“Kami tidak bermain-main dengan agama kami atau agama lain. Ataupun kami akan adakan perjanjian barter (sedemikian).

“Kami berada di sini untuk menghulur tangan bagi membina keamanan dan keharmonian,” kata Feisal lagi.

Laman web NBC melaporkan, pada sidang media kedua sejurus selepas penafian Feisal, Jones pula berkata, beliau “berbohong tetapi saya tetap akan mengadakan pertemuan dengan beliau.”

Pada sidang media pertama, Jones bertemu dengan Muhammad Musri yang memberitahunya bahawa pegawai-pegawai masyarakat Islam memberi jaminan bahawa tapak pembinaan masjid akan dipindahkan.

“Saya ada bertanya beliau tiga kali, dan saya ada saksi,” kata Jones.

Bagaimanapun selepas sidang media pertama Muhammad Musri memberitahu beliau dijemput untuk mengadakan satu pertemuan bersama Jones dan imam New York berhubung cadangan memindahkan masjid.

Jones juga memberitahu Setiausaha Pertahanan Amerika Robert Gates ada menghubunginya awal semalam.

Gates meminta Jones agar menggugurkan rancangan membakar al-Quran.

Rancangan Jones itu menjadi kontroversi antarabangsa sejak awal minggu ini, yang turut dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertuduhan Persidangan Islam (OIC).

Pelbagai pihak dari Malaysia juga mengecam tindakan sedemikian.

Awal semalam, Presiden Barack Obama dan Setiausaha Negara Hillary Clinton telah merayu Jones akan mengkaji semula rancangannya.

Pemimpin-pemimpin tentera Amerika menjelaksan pendirian mereka bahawa rancangan Jones akan membawa kesan buruk mendalam di luar negara.

Laporan Reuters juga menyebut pentadbiran Obama juga telah mengadakan perbincangan bagi menentukan sama ada mahu memanggil pastor itu bagi memintanya membatalkan rancangan membakar al-Quran.

“Kemungkinna itu ada dibincangkan dengan mendalam oleh pentadbiran,” kata jurucakap Pentagon Geoffrey Morrell.

Pastor Jones membuat pengumuman itu ketika Interpol mengeluarkan kenyataan amaran kepada kerajaan di seluruh dunia berhubung kemungkinan peningkatan risiko tindakan pengganas jika pelan membakar al-Quran diteruskan.

“Jika rancangan untuk membakar al-Quran diteruskan di Amerika sebagaimana telah dirancang, ada kemungkinan besar serangan ganas akan menimpa mereka yang tidak berdosa,” kata kenyataan Interpol atas nasihat Pakistan, rakan pentadbiran White House.

Dengan rancangan mahu membakar al-Quran, sambutan Aidilfitri di Amerika kali ini agar tegang dengan bantahan terhadap pelan masyarakat Islam di New York mahu membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid di Manhattan, berhampiran WTC yang menjadi sasaran pengganas sembilan tahun lalu.

Obama dan Datuk Bandar New York Michael Bloomberg sebelum ini mengatakan bahawa mereka menyokong hak bagi masyarakat Islam membina pusat itu manakala Republikan termasuk bekas calon jawatan Naib Presiden Sarah Palin menentangnya.

Suruhanjaya Pemuliharaan Lokasi Ternama New York sebulat suara menolak bantahan mempertikaikan status bangunan di Lower Manhattan, sekali gus membuka laluan kepada pelan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan tersebut, 3 Ogos lalu.

Keputusan itu membenarkan bangunan sedia ada diroboh dan dibina pusat Islam 13 tingkat menerusi pembiayaan sekitar RM300 juta (AS$100 juta).

Suruhanjaya itu mendapati bahawa bangunan sedia ada, yang berusia 152 tahun berkenaan, dua blok dari tapak WTC yang ranap, bukan premis yang istimewa untuk memenuhi kriteria dijadikan bangunan ternama.

Projek itu mencetuskan protes hangat daripada pengkritik yang mengatakan kehadirannya berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian 3,000 orang sembilan tahun lalu dalam serangan pengganas di bumi Amerika Syarikat.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails