Wednesday, September 15, 2010

GERAKAN Parti Terbaik Ketuai BN Penang.. Bukannya UMNO!

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Gerakan masih merupakan parti terbaik untuk menerajui Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dalam pilihan raya umum ke-13, kata Naib Presidennya Datuk Mah Siew Keong hari ini.
Mengulas kritikan Umno Pulau Pinang semalam, Mah berkata, Gerakan mempunyai rekod prestasi yang baik ketika mengetuai BN dalam pilihan raya umum sejak 1972.

“Kami telah mencapai kejayaan besar untuk Barisan Nasional, khususnya dalam menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang sepanjang beberapa pilihan raya sehingga 2008.

“Rekod itu sendiri akan menjawab (segala kritikan),” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu Mah menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainol Abidin Osman bahawa Gerakan seharusnya membenarkan Umno atau komponen BN lain untuk menerajui perikatan itu kerana parti itu kononnya sudah berputus asa dalam usaha merampas Pulau Pinang dariapda Pakatan Rakyat.

Mah juga berkata, Gerakan tidak pernah berputus asas dalam usaha merampas ataupun memenangi kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita tidak harus salah faham hasrat Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan apabila beliau berkata kita tidak boleh mendapatkan balik Pulau Pinang,” kata Mah.

“Saya percaya bahawa niat Dr Teng adalah untuk merangsang ahli-ahli Gerakan bahawa mereka harus bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Tidak boleh dinafikan bahawa situasi di Pulau Pinang tidak memihak (kepada BN) buat masa sekarang dan kita perlu memerlukan kerjasama setiap orang di Gerakan dan BN, dan juga untuk melaksanakan strategi kita untuk mencapai kemenangan,” kata Mah lagi.

Sehubungan itu kata Mah, “kita perlu realistik berhubung kelemahan kita.”

“Kita tidak boleh berbohong bahawa kedudukan kita adalah baik sekarang.

‘Bagaimanapun, jika kita kerja kuat, kita ada peluang lebih baik baik,” katanya lagi.

Semalam, Umno Pulau Pinang menggesa rakannya, Gerakan agar menyerahkan kesemua kerusi yang mereka bertanding kepada MCA dan MIC jika merasakan sudah tidak yakin dan telah berputus asa dalam usaha merampas kembali negeri itu daripada PR pada pilihan raya umum ke-13.

Sambil menegaskan pemimpin politik tidak wajar dan tidak sepatutnya berputus asa dalam perjuangan, Zainal berkata, Gerakan perlu memaklumkan komponen perikatan BN dengan “segera” jika merasakan sudah tidak mampu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Gerakan tidak patut dan tidak seharusnya berputus asa dalam meneruskan usaha menawan balik negeri Pulau Pinang, kita perlu bekerja keras... dan sekiranya tidak boleh, beritahu dengan cepat supaya mereka (MCA dan MIC) boleh mengambil alih peranan (bertanding di kawasan Gerakan),” kata Zainal yang juga Timbalan Pengerusi BN kepada The Malaysian Insider.

“Gerakan perlu menyerahkan kepada MCA dan MIC bertanding di kerusi-kerusi mereka bertanding dua tahun lalu jika sudah tidak yakin lagi,” tegas beliau.

Sehubungan itu tegas beliau, usaha perlu dipertingkatkan untuk menawan kembali sokongan rakyat Pulau Pinang untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada pilihan raya umum lalu daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Umno bertanding di 15 kerusi dan menang di 11 kawasan. Gerakan bertanding di 12 kerusi dan kalah teruk.

Baki kerusi ditanding oleh MCA dan MIC.

Teng juga meramalkan yang kerajaan negeri pimpinan PR tidak akan kekal berkuasa untuk tempoh yang lama.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails