Friday, September 3, 2010

Fitnah Guan Eng sembelih lembu melampau



GEORGETOWN - Polis diminta menyiasat dengan segera individu yang terlibat memfitnah Lim Guan Eng menerusi penyebaran gambar yang dihasilkan menerusi teknik pertindihan (super impose) Ketua Menteri itu sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam.

Exco Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Faruk Abdul Rahman berkata, fitnah seperti itu amat merbahaya kerana ia melibatkan sentimen agama yang amat sensitif bagi umat Islam.

“Saya tidak fikir ini strategi politik biasa. Kerana itu, polis perlu siasat dengan segera siapa dalangnya dan ambil tindakan paling tegas,” katanya.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau, Mohd Faruk berkata, mereka yang terbabit juga ternyata tidak menghormati kemuliaan Ramadan.

“Saya percaya, ini perbuatan individu atau kumpulan dalam UMNO,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, polis perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang sengaja memainkan isu sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan itu.

Menurutnya, Ketua Menteri sememangnya seorang yang prihatin dan mesra dengan semua kaum, malah pada bulan Ramadan ini, jadualnya padat dengan pelbagai majlis berbuka puasa.

Wei Aik berkata, Guan Eng masih tahu batas serta perkara yang boleh dibuat dan yang tidak boleh terutama membabitkan hal keagamaan.

“Tuduhan mereka tidak berasas. Mereka sudah semakin melampau kerana dengan sewenang-wenangnya bermain isu yang sangat sensitif. Ini berbahaya kerana ia boleh memecahbelahkan kaum serta keamanan yang kita kecapi sejak sekian lama,”katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar.

Wei Aik yang bimbang perkara itu akan berlarutan membuat laporan polis petang di Balai Polis Jalan Pattani, petang semalam.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails