Thursday, September 30, 2010

DUN Galas: Tarikh pilihan raya kecil diumum 6 Okt

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong sejak Isnin lalu pada 6 Oktober ini.

“SPR sudah putuskan, kami akan adakan mesyuarat khas pada 6 Oktober, Rabu depan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi hari ini.

“Pegawai pengurus pilihan raya yang dilantik juga akan diperkenalkan pada hari tersebut, dan juga makluman mengenai writ pilihan raya, saya akan umumkan selepas mesyuarat khas pukul 11 pagi (Rabu depan),” kata beliau lagi.

SPR dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN Galas, Kelantan kelmarin.


Suruhanjaya itu ada masa sehingga 7 Oktober untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi itu yang kosong ekoran kematian penyandang Che Hashim Sulaima Isnin lalu.

Semalam beliau berkata bahawa penetapan tarikh pilihan raya kecil ini, yang kali ke-12 akan mengambil kira semua aktiviti parti termasuk Perhimpunan Agung Tahunan Umno bulan depan.

Selain itu kata beliau, SPR juga akan mengambil kira hari-hari kebesaran seperti sambutan Deepavali dan Aidiladha, jatuh sebelum pertengahan November, dalam menentukan tarikh pilihan raya.

Kerusi itu dimenangi Che Hashim pada pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon Umno, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails