Thursday, September 16, 2010

Azmin Ali sahkan tanding jawatan timbalan presiden PKR


Azmin Ali mengumumkan keputusan mahu bertanding jawatan
Timbalan Presiden PKR di Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 16 Sept - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden parti itu yang kini kosong ekoran keputusan penyandangnya tidak mahu mempertahankannya kali ini.

“Setelah mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti dan anggota-anggota parti termasuk perbincangan terus dengan (Timbalan Presiden Senator) Dr. Syed Husin Ali, saya dengan penuh rasa tawaduk dan rendah hati ingin menawarkan diri saya untuk berkhidmat jawatan tersebut (timbalan presiden),” kata beliau pada sidang media di Kota Kinabalu pagi ini.


Azmin, 46, pernah dicalonkan bertanding kerusi itu tiga tahun lalu tetapi menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Beliau menerima sokongan sekumpulan 20 ahli Parlimen dan Senator serta majoriti ADUN dari Selangor dan Negeri Sembilan minggu lalu agar bertanding jawatan timbalan presiden.

Jawatan itu kemungkinan akan turut ditandingi oleh ahli Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Azmin juga berkata selaku anggota parti yang menjunjung semangat berpasukan di dalam parti, beliau mengambil maklum pengumuman Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menerima pencalonan bagi jawatan parti dan menumpukan tenaga beliau bagi memantapkan Pakatan Rakyat.

“Sehubungan dengan itu, saya ingin menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar selaku Ketua Umum dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat.

“Saya juga menghayati kenyataan Dr. Syed Husin Ali yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Timbalan Presiden,” kata Azmin pada sidang media di Kota Kinabalu pagi ini.

“Saya bersama rakan-rakan pimpinan dan anggota-anggota parti akan berganding bahu untuk menggilap idealisme, memperkukuh kesetiaan dan memperkasa organisasi,” kata antara pengasas Keadilan ini dan bekas setiausaha sulit kepada Anwar ketika memegang jawatan kerajaan.

Azmin kini berada di Sabah sejak semalam dan selama tiga hari di Sarawak mulai esok.

Azmin, bekas pengerusi PKR Sabah merupakan pemimpin pertama mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden dan ia dibuat di Kota Kinabalu - antara negeri yang dilihat penting dalam memperoleh sokongan dalam pemilihan langsung sulung kali ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau turut berazam untuk memastikan pemilihan kepimpinan tahun ini berlangsung dalam suasana sihat dan semangat kekeluargaan di sepanjang proses kempen dan pemilihan parti.

Kata Azmin, PKR telah mengorak langkah memberi takrif baru demokrasi dalam usia yang begitu muda di persada negara.

“Pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat 2010 merupakan suatu pemerkasaan demokrasi dalam sejarah politik Malaysia melalui pemilihan langsung yang digalas oleh anggota-anggota parti dan sekaligus menjadikan Keadilan sebuah parti yang paling demokratik di Malaysia.

“Namun pembaharuan ini juga membuka cabaran-cabaran baru yang perlu dihadapi dengan bijaksana dan bertanggungjawab,” kata beliau.

Azmin berkata beliau menghargai dan berterima kasih kepada Dr. Syed Husin atas sumbangan dan perjuangan beliau yang berterusan dalam mempertahankan prinsip keadilan dan hak rakyat.

“Syed Husin Ali beristiqamah dalam perjuangan. Sifat istiqamah beliau akan terus menjadi inspirasi kepada anggota-anggota parti dalam meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Kata Azmin, teras prinsip perjuangan beliau telah menggariskan kriteria contoh pemimpin parti seperti kesetiaan kepada perjuangan, patuh pada disiplin parti, tuntas menentang rasuah serta menegakkan nilai-nilai moral yang tinggi seharusnya menjadi pegangan seluruh anggota parti.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails