Sunday, September 26, 2010

Alahaiii... Naib Presiden PKR kalah di Pasir Salak...

Pengerusi PKR Perak itu ditewaskan oleh bekas ketua cabang tersebut Osman Abdul Rahman dengan perbezaan 17 undi.

Bagaimanapun ini membuktikan bahawa demokrasi masih subur di Perak..


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub, antara tiga pemimpin dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden parti itu kali ini, gagal dalam persaingan jawatan ketua cabang Pasir Salak hari ini.

Pengerusi PKR Perak itu ditewaskan oleh bekas ketua cabang tersebut Osman Abdul Rahman dengan perbezaan 17 undi.

Dalam saingan satu lawan satu Mustafa mendapat 94 undi manakala Osman pula menerima 111 undi.

Mustaffa memangku jawatan ketua cabang itu selepas Osman berundur sementara atas sebab peribadi tiga tahun lalu.

“Saya berundur pada 2007 atas sebab peribadi tetapi disebabkan permintaan ahli-ahli cabang, saya bertanding semula... apabila saya berundur Mustaffa yang merupakan timbalan ketika itu memangku jawatan ini,” kata beliau ketika dihubungi petang ini.


Osman yang juga bekas pengerusi PKR Perak memberitahu, “kemenangan ini bukan kemenangan saya semata-mata, tetapi kemenangan ahli-ahli cabang Pasir Salak.”

Mustaffa dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak tahun lalu.

Cabang itu mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding kerusi presiden manakala Mustaffa pula kerusi bagi jawatan timbalan presiden.

Pasir Salak merupakan salah satu daripada tujuh cabang di Perak yang mengadakan mesyuarat hari ini.

Enam yang lain ialah Gopeng, Tapah, Lumut, Bagan Datok, Telok Intan dan Tanjong Malim.

Osman mengetuai cabang itu sejak PKR ditubuhkan sebelum berehat sementara pada 2007.

“Saya mahu menggunakan kemenangan ini untuk memperkuatkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada kemenangannya ada kesan ke atas usaha seorang lagi Naib Presiden Azmin Ali bertanding jawatan timbalan presiden, Osman berkata:

“Saya bertanding jawatan ketua cabang bukan atas desakan sesiapa termasuk Azmin Ali, tetapi atas kehendak ahli-ahli saya yang mahu saya bertanding.”

Setakat ini Mustaffa, walaupun belum membuat pendirian rasmi, tetapi telah menerima 12 pencalonan bertanding kerusi timbalan presiden.

Hari ini 38 cabang mengadakan mesyuarat agung tahunan.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails