Wednesday, September 1, 2010

13 Mei : Racun yang disangka ubat oleh UMNO.

Menurut Mahfuz, apa yang dituduh oleh Zam itu amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku di mana Kelantan yang diperintah oleh PAS ketika tercetusnya peristiwa 13 Mei itu terbukti paling aman.


13 Mei: Racun pun Umno sangka ubat
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Umno kini umpama diserang wabak kencing tikus sehingga racun pun disangka ubat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Umno sudah tidak tentu arah lagi untuk mencari formula ubat bagi menyembuhkan wabak kronik yang kini dideritainya hingga ubat luput tarikh seperti pandangan Zam (bekas ketua penerangan Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin) pun dilahap dengan penuh rakus oleh parti itu.

"Ubat Zam tak ubah seperti botol kicap yang bukan sahaja luput tarikh malah sudah ke peringkat menjadi racun," kata beliau.

Zam menuduh PAS meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Menurut Mahfuz, apa yang dituduh oleh Zam itu amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku di mana Kelantan yang diperintah oleh PAS ketika tercetusnya peristiwa 13 Mei itu terbukti paling aman.

"Sebab itulah saya kata 'ubat' Zam itu sebenarnya racun yang akan memburukkan lagi wabak yang kini dideritai oleh Umno.

"Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Zam kerana bersungguh-sungguh menyumbat racun ke dalam mulut Umno yang kini bagaikan dibelasah wabak kencing tikus," katanya sambil membangkitkan kembali dokumentari RTM mengenai Kelantan ketika Zam menjadi Menteri Penerangan.

"Dokumentari itu akhirnya terbukti penuh pembohongan dan menjadi bahan ketawa rakyat Kelantan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Harakahdaily tahun lalu pernah menceritakan apa yang berlaku di Kelantan ketika peristiwa 13 Mei di mana memang tidak dinafikan bahang rusuhan kaum itu mendorong kira-kira 50 hingga 60 orang pemuda berkumpul di atas Jambatan Yahya Petra.

Menurut bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan yang juga pembantu kanan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Ustaz Salahuddin Abdullah, dengan penuh semangat pemuda-pemuda itu dibakar dengan kata-kata "jangan biar orang-orang Melayu di Selangor dianiayai dan tak ada pembelaan kita".

Salahuddin mendakwa, pemuda-pemuda itu, termasuk dari Umno dan PAS, diapi-apikan beberapa pemimpin Umno Kelantan.

Sebaik sahaja mendengar kekecohan itu, Allahyarham Tan Sri Asri Muda yang ketika itu menjadi Menteri Besar Kelantan meminta Salahuddin dan beberapa yang lain pergi memujuk para pemuda itu. Setelah dipujuk, mereka dibawa ke kediaman Menteri Besar yang terkenal dengan panggilan JKR 10.

Ketika di bawa ke JKR 10, kira-kira 100 orang berhimpun termasuk pemuda-pemuda yang dipujuk itu.

"Mereka dijamu dengan mi dan nasi lemak," kata Salahuddin.

Asri menjelaskan kepada mereka bahawa PAS yang ketika itu memerintah Kelantan berjuang berdasarkan landasan Islam.

PAS, katanya, sentiasa tunduk kepada ajaran Islam.

Bekas Presiden PAS itu menasihatkan mereka supaya berwaspada dan jangan terjebak dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam termasuk hasutan rusuhan perkauman.

Ketika pertemuan itu berlangsung, seorang kontraktor yang terlibat dengan projek-projek membuat jalan di Kelantan, Chua Say Paw, tiba-tiba datang ke JKR 10.

Sebelum datang ke kediaman Menteri Besar itu, beliau tidak tahu-menahu tentang kejadian yang berlaku dan datang kerana urusan lain.

Asri terus memanggil beliau ke hadapan dan memberitahu jika berlaku kejadian menganiaya kaum Cina di mana-mana tempat di Kelantan, beliau akan pegang penghulu tempat berkenaan.

Menteri Besar itu tak mahu dengar apa-apa berlaku.

Sambil memandang Chua, Asri juga memberi jaminan tidak ada apa-apa yang akan berlaku ke atas kaum Cina di Kelantan di mana PAS memerintah.

Selepas itu, kehidupan seharian di Kelantan berjalan seperti biasa.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails