Sunday, August 22, 2010

Tak salah doa pemimpin sejahtera - Dr. Asri

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tidak mempolitikkan isu membaca doa membabitkan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa khutbah sehingga boleh mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat.

Sambil menegaskan beliau tidak pasti bentuk doa yang telah dibacakan sebagaimana didakwa oleh Umno Pulau Pinang, bekas mufti Perlis kelahiran Pulau Pinang itu menganggap membacakan kesejahteraan Lim selaku Ketua Menteri atau seabgai ketua kerajaan negeri adalah perkara kecil.

“Jangan mempolitikkan isu ini, saya katakan perkara ini kepada Pakatan dan juga BN, jangan mempolitikkan,” kata beliau.

Asri menambah, parti-parti politik perlu ada semangat “negarawan” tanpa melihat sesuatu isu itu dalam skop yang terbatas atau kerangka politik semata-mata atau kepentingan kelompok tertentu.

“Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak... kita (sebenarnya) ada banyak perkara besar untuk dilakukan bagi rakyat negara ini... isu ini (membaca doa kesejahteraan) bukanlah besar sangat pun,” kata beliau yang pulang ke tanah air dari Mekah kelmarin.

“Saya tidak tahu apakah doa yang dibacakan, kita kena melihat pada kandungan doa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam sambil menjelaskan, doa jatuh dalam empat kategori.

Doa pertama menurut beliau, meminta seseorang pemimpin diberikan petunjuk atau hidayah manakala yang kedua berharap agar seseorang pemimpin itu bersikap adil atau bersimpati dengan nasib rakyat.

“Doa ini boleh dibacakan ke atas pemimpin sama ada mereka itu Islam atau bukan Islam,” katanya.

PR melihat Umno menggunakan isu itu menyerang kepimpinan negeri diterajui Lim sejak Mac 2008. Isu khutbah dilihat siri terbaru serangan ke atas kerajaan negeri pimpinan PR.

“Dua doa yang lain ialah kita mendoakan kesejahteraan seseorang pemimpin itu walaupun dia berlaku tidak adil, seolah-olah kita bersetuju dengan kezaliman dia, dan satu lagi ialah berdoa memuji kepimpinan, seolah-olah doa penghias kepimpinan)... kedua-dua ini tidak boleh dilakukan,” katanya.

Asri juga membangkitkan persoalan mengapa isu doa dijadikan sebagai satu isu besar sekarang sedangkan ada parti-parti politik yang pernah berdoa agar membawa kemenangan seseorang calon bukan Islam yang diletakkan dalam pilihan raya.

Katanya, jika doa kemenangan dibolehkkan ke atas calon bukan Islam, mengapa doa kesejahteraan pemimpin bukan Islam tidak boleh demi menunjukkan hidayah atau petunjuk dan agar berlaku adil kepada rakyat.

“Saya tidak mahu menyebut parti mana yang berbuat demikian, tetapi jangan mempolitikkan isu doa sekarang... pernah ada parti yang membacakan doa agar membawa kemenangan kepada calon mereka yang bukan Islam, mengapa dulu boleh tetapi sekarang tidak boleh, jadi ada doa yang boleh dan ada doa yang tidak boleh... doa untuk kebaikan kita boleh lakukan,” katanya.

Asri juga menasihatkan agar isu khutbah dan doa dilihat dari sudut agama yang akan memberikan penyelesaian adil dan berfakta, bukannya menerusi platform politik yang lebih bersifat emosional.

Ketika ditanya mengenai penggunaan nama Ketua Menteri untuk digantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Asri berkata, beliau tidak pasti soal tersebut baru pulang dari luar negara.

“Aspek ini saya belum ada maklumat sebab saya baru pulang dari luar negara,” kata beliau.

Setakat semalam polis sudah pun menerima tiga laporan berhubung dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Laporan Utusan Malaysia semalam memetik Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak yang mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.

Khamis lepas, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Ketua Menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan perkara tersebut berdasarkan siasatan awal.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama semalam.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin itu.

Dalam kenyataan itu juga, Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Ketika menjelaskan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mendakwa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.

Beliau menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails