Wednesday, August 25, 2010

Taib Mahmud sudah merajuk?

Kata Taib, beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian "Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur,"

Taib sedia undur jika tak diperlukan, trend pengundi Cina bingungkan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang sudah hampir lima dekad aktif dalam politik dan menerajui negeri itu sejak 29 tahun lalu menegaskan "akan berundur" jika tidak lagi lagi diperlukan.

Kemungkinan itu masih menjadi teka-teki ketika Sarawak bersedia ke arah pilihan raya umum negeri.

Bagaimanapun beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10, yang disebut-sebut dalam waktu terdekat ini.

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu sejak 26 Mac 1981, berkata beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu kerana ia perlu dibincangkan dan diluluskan oleh pucuk pimpinan.

"Saya tidak tahu... terserah kepada parti dan perdana menteri," katanya di Kuching semalam.

Pada 1981, beliau turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebandi bagi membolehkannya kembali ke Sarawak dan menjadi Ketua Menteri menggantikan Tun Abdul Rahman Yaakub.

Taib juga mempertahankan kerusi DUN Sebandi pada 1983, 1987; kerusi DUN Asajaya (1991, 1996) dan DUN Balingian (2001 dan 2006).

Kata Taib, beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

"Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur," kata beliau dipetik Bernama.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1981 dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya itu dan akhirnya beliau memutuskan untuk tidak bersara.

Mengenai bila beliau kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri, Ketua Menteri berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Mengenai sentimen pengundi Cina di Sarawak yang masih memilih pembangkang berbanding BN, Taib mengakui trend itu masih membingungkannya sehingga kini.

"Saya juga bertanyakan soalan yang sama, saya mahu tahu," katanya.

Kata beliau, kerajaan negeri secara ikhlas cuba memenangi hati pengundi Cina tetapi masih gagal berbuat demikian sehingga kini.

Pada pilihan raya negeri 2006, PBB memenangi 34 daripada 71 kerusi negeri diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dengan 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan kerusi dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) lapan kerusi manakala selebihnya dimenangi parti-parti pembangkang.

Mengulas isu lain, Taib dipetik Berita Harian berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang pernah kalah teruk pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak 2006.

"Selama ini saya sudah banyak membantu SUPP, sama ada mereka mahu menerimanya atau tidak, ia perkara lain.

"Saya sudah memberikan analisis dan nasihat mengenai masalah mereka sebelum ini," kata beliau.

"Kini terpulang kepada mereka. Jika saya melakukan lebih dari itu, ada di kalangan pemimpin SUPP akan mengkritik saya kerana mencampuri hal ehwal dalaman parti itu," katanya.

Taib menambah SUPP sebenarnya lebih perlu membantu diri mereka sendiri, bukannya mengharapkan bantuan dari luar dalam memulihkan kekuatan parti berkenaan.

Beliau pertama kali mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen ketika era perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1967 ketika berusia 31 tahun.

Taib dilantik Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri pada 1968.

Sementara itu ketika kepimpinan Tun Abdul Razak, beliau dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada September 1970 dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan selepas itu memegang pelbagai portfolio di bawah Tun Razak dan Tun Hussein Onn sehingga 1981.

Beliau juga pernah dilantik Menteri Wilayah Persekutuan pertama pada 1980.

Abdul Taib mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya umum 1969 hingga 2004 termasuk beberapa kali menang tanpa bertanding sebelum memutuskan untuk tidak bertanding kerusi Parlimen pada 2008, dengan anaknya Datuk Seri Sulaiman Taib menggantikannya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails