Sunday, August 22, 2010

Tahan Chua Soi Lek dibawah ISA?.. jangan mimpilah..

Majlis Perundingan Melayu (MPM), hari ini sepakat mendesak kerajaan mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didakwa mencetuskan ketegangan kaum selain melanggar semangat perlembagaan dengan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu.

Hmmmm... jangan mimpilah...


MPM mahu tindakan ISA ke atas Soi Lek
Oleh Radzi Razak

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Majlis Perundingan Melayu (MPM), hari ini sepakat mendesak kerajaan mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didakwa mencetuskan ketegangan kaum selain melanggar semangat perlembagaan dengan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Dr Zubir Harun berkata kenyataan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim semalam yang mendakwa Dr Chua melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dengan meminta ekuiti 30 peratus pegangan bumiputera dalam perniagaan dikurangkan.

“Mengikut kenyataan Datuk Rais semalam, kami rasa pelanggaran ini sebagai satu perkara serius.

“Beliau cuba merompak hak Bumiputera mendapatkan rezeki,” tegas Zubir kepada wartawan ketika sidang media sempena mesyuarat tergempar MPM di sini.

MPM, sebuah badan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu ditubuhkan Mac lalu dengan tujuan mempertahankan hak kaum Melayu dan Bumiputera.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM Dr Hasan Mad berkata resolusi Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA Sabtu lalu seolah-olah sengaja mencabar hak Melayu.

Malah, Hasan menempelak penafian Dr Chua hari ini bahawa beliau tidak mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru atau hak Bumiputera.

“Itu yang saya panggil lidah biawak. Resolusi itu dalam bentuk bertulis jelas menunjukkan beliau memang meminta pengurangan (ekuiti Bumiputera). MPM tidak mahu pemimpin yang tidak menyumbang kepada pembangunan negara seperti ini,” tegas beliau.

Menurut Hasan, MPM akan mengeluarkan resolusi sendiri selepas mesyuarat tergempar har ini menuntut kerajaan tidak tunduk dengan permintaan MCA atau mana-mana NGO kaum Cina.

“Kita akan tulis surat. Pertama kepada menteri Kabinet Melayu, kedua kepada ahli Majlis Tertinggi Umno minta supaya tidak tunduk dengan permintaan kaum Cina dari MCA atau mana-mana pihak,” kata Hasan.

Dr Chua sebelum ini juga telah meminta kerajaan menambah peruntukan kepada sekolah aliran Cina kerana mendakwa pertambahan murid di samping kepentingan berbahasa Mandarin bagi menarik pelabur dari China.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Kamaruddin Kachar berkata hanya sekolah kebangsaan layak menerima peruntukan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan kata sekolah bukan kebangsaan tak boleh terima peruntukan. Jadi mengapa nak bagi peruntukan (kepada Dr Chua). Kita menuntut sekolah Cina dan Tamil dimansuhkan dan hanya nak sekolah satu aliran,”katanya.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail menambah hanya Malaysia masih memiliki sekolah pelbagai aliran.

“Di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia tak ada sekolah vernakular. Hanya Malaysia ada,” ujar beliau.

MPM turut memberi amaran kepada MCA bahawa orang Melayu tidak akan memberi sokongan kepada parti itu jika ia terus mengungkit hak istimewa orang Melayu.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, salah satu ahli gabungan MPM sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap Dr Chua berhubung kenyataannya yang dikatakan berbaur perkauman apabila mempersoalkan sistem kuota ekonomi Bumiputera.

Dr Chua semasa ucapannya di Kongres Ekonomi Cina Malaysia 14 Ogos lalu menuntut ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat tetapi mendapat tentangan hebat pelbagai NGO Melayu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails