Monday, August 23, 2010

Surau di Seremban disimbah cat merah

Oleh Adib Zalkapli



KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Sebuah surau di Seremban disimbah dengan cat merah awal pagi ini dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab tetapi polis meminta orang ramai bertenang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Zaki Masroh mengesahkan kejadian tersebut dan meminta supaya orang Islam bertenang.

“Cat tersebut dipercayai disimbah di pintu masuk surau itu. Kita telah mengambil sampel cat untuk dianalisis,” kata Zaki kepada The Malaysian Insider.

“Kita bertindak selepas menerima panggilan dari sebuah telefon awam,” tambahnya.

Zaki juga mengingatkan orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Sekarang adalah bulan Ramadan. Saya mahu orang Islam bertenang, jangan ambil tindakan sendiri dan jangan buat spekulasi,” katanya.

“Jika ada maklumat mengenai perkara ini, sila beritahu kepada polis supaya kita boleh siasat secara terperinci. Serangan terhadap rumah ibadat adalah satu perkara yang sensitif, saya tidak mahu sesiapa terlalu emosional,” kata Zaki.

Sementara itu Ahli Parlimen Rasah Loke Siew Fook berkata serangan itu ditemui ahli jawatankuasa surau Taman Pulai Impian sebelum solat Subuh.

“Saya tidak tahu apa motif serangan itu, saya harap polis akan bertindak segera,” kata Loke.

Awal tahun ini dua gereja di Seremban telah diserang selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan orang beragama Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan mereka.

Bom api telah dilemparkan di salah sebuah gereja, meninggalkan kesan hangus di pintu depan sementara tingkap gereja didapati pecah.

Dua masjid di Petaling Jaya juga turut menerima nasib sama awal tahun ini apabila kepala babi dijumpai di dalam kawasan tersebut.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails