Tuesday, August 24, 2010

Sudah-sudahlah menyerang Nurul Izzah tu..

Dato Zaid Ibrahim

Menteri Kabinet yang kanan seperti Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein Onn sepatutnya memberi tumpuan dan masa mengulas dasar negara yang penting seperti Model Ekonomi Baru, atau kekerapan insiden perkauman kebelakangan ini, ataupun mengapa begitu ramai peneroka FELDA membuat tuntutan Mahkamah terhadap Felda.

Boleh juga kalau mereka menerang proses perlantikan guru besar di sekolah-sekolah negara ini, sehinggakan yang mengutarakan pendapat jijik perkauman dan fasis pun boleh jadi guru besar; dan tanpa apa apa tindakan diambil terhadap mereka.

Malangnya kenyataan yang kita dengar dari kedua-dua Menteri kanan ini berkisar menyerang YB Nurul Izzah kerana komen dan pendapat beliau mengenai ekonomi negara dan keadaan kapal selam yang kita beli dalam wawancara dengan majalah Indonesia, Tempo. Nurul sekarang sudah menjadi sasaran.

Kedua-dua Menteri itu berkata Nurul memburuk-burukkan imej dan nama negara. Malah laporan polis pun dibuat oleh orang orang yang tak ada kerja. Dengan lain perkataan komen dan pendapat Nurul mestilah memuji Kerajaan Barisan Nasional; barulah ia dikatakan memuji negara dan menjaga nama baik negara. Bila dia mengkritik dan menyoal Kerajaan BN dan keputusan Kerajaan maka itu bererti Nurul memburukkan nama baik negara.

Pemikiran dan logik terhad ini yang menjadi punca segala permasalahan. Mereka ini tak tahu membezakan Negara dan Kerajaan. Sebab itu duit rakyat digunakan sebagai duit BN. Institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Polis Diraja Malaysia juga digunakan oleh mereka seperti hak BN. Untuk pengetahuan mereka, negara ini milik rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik; tetapi Kerajaan BN ini bukan milik semua rakyat.

Dasar ekonomi dan pembelian kapal selam dibuat oleh kerajaaan BN; maka sesiapa saja termasok Nurul boleh mengulas dan mengkritik dasar itu. Apa kena mengena dengan maruah negara? Hanya maruah BN yang tercemar dengan kritikan itu.

Nurul dan sesiapa sahaja boleh dan wajar memberi pandangan mereka terhadap kepincangan dan kelemahan dasar BN, dalam negeri ataupun di luar negeri.

Zahid Hamidi dan Hishamuddin akan cuba mengelak dari isu-isu ini dengan menggunakan benteng "Negara" dan sebagainya, tetapi rakyat tahu bezanya antara Negara dan Kerajaan BN.


Zaid Untuk Rakyat

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails