Saturday, August 7, 2010

Saman ekor: Nak kurangkan kemalangan atau nak kutip jutaan ringgit daripada pesalah trafik?

Oleh YUSOF HARUN

KISAH ini saya petik dari pengalaman seorang kawan yang juga seorang usahawan dan aktivis sosial, Dr Adib Vincent Tung Abdullah. Beberapa tahun yang lalu Dr Adib telah diminta oleh seorang kawan untuk membantu menyelesaikan satu saman kompaun kesalahan meletak kenderaan bernilai RM20 yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh. Secara kebetulan Dr Adib mengenali Datuk Bandar ketika itu iaitu Datuk Ismail Shah Bodin.

“Saya membawa tiket kompuan menemui Datuk Bandar di pejabatnya. Melihat saya masuk ke biliknya, Datuk Ismail bangun sambil menghulurkan tangan. Kami berjabat salam,” cerita Dr Adib sambil menyambung “saya memaklumkan kepadanya hajat kedatangan tetapi belum sempat saya memulakan tugas merayu dan sebagainya, Datuk Ismail mencelah dengan menceritakan pengalaman yang telah beliau lalui.

Katanya, sewaktu sedang bercuti, beliau meletakkan kenderaan peribadinya, sebuah Volkswagen Beetle di Jalan Sultan Yussuf untuk mengunting rambut. Hampir sejam kemudian sebaik mengambil semula kenderaan di tempat pakir kereta, beliau dapati kenderaannya telah disaman. Keesokan harinya beliau beratur macam orang lain untuk membayar kompaun. Resit bayaran itu kemudian diletakkan dalam bingkai kaca dan digantung di dinding di belakang tempat duduknya.

Selesai bercerita, Datuk Bandar itu lantas bangun dan mencapai bingkai mengandungi resit sambil berkata, “Walaupun saya adalah Datuk Bandar, saya patuhi arahan dan membayar saman kerana telah melanggari undang-undang meletakkan kenderaan tanpa bayaran yang mencukupi!”

Berbekalkan cerita tersebut, Dr Adib pun tak jadi hendak menyatakan niatnya lalu pulang meninggalkan pejabat Datuk Bandar dengan penuh iktibar. Mukadimah ini mungkin tiada kaitan dengan persoalan keseluruhan tulisan ini. Tetapi, bercakap tentang perihal saman lalulintas yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa, ia agak menyentuh hati. Memang tidak dapat dinafikan soal saman trafik atau apa-apa saja kesalahan yang dilakukan, kita tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi penulis, yang sering menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan untuk berulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur, penulis sering terlihat pelbagai kenderaan, dari sekecil sebuah Perodua Kelisa, sehinggalah kepada kereta mewah seperti Mercedes Benz , BMW, Porsche, Cheyenne serta bas dan juga lori dikenakan tindakan saman yang berpunca daripada kesalahan trafik yang mereka lakukan sepanjang mereka menggunakan lebuh raya berkenaan.

Tetapi apa yang menarik ialah, bagi pengguna lebuh raya mereka tidak terlepas dari terkena saman atau apa yang dikenali dengan nama ‘saman ekor’. Polis Cawangan Trafik lazimnya menyorok di suatu kawasan lalu menghala lensa kamera ke arah kenderaan yang dipandu melebihi had laju yang telah ditetapkan. Saman itu kemudian dihantar ke alamat pemilik kenderaan.

Jika anda merasakan saman ekor ini ada kaitan dengan kesalahan membeli nombor-nombor ekor ataupun saman kesalahan membuang sampah di tepi jalan, maka lebih baik berwaspada bila anda memandu di lebuh raya selepas ini. Malahan sejak diperkenalkan, kerajaan berjaya mengutip jutaan ringgit dan kerana cara kompaun ini dikenakan, isu saman ekor ini telah menjadi isu kontroversi yang sering mencuri perhatian media.

Malahan secara sinis sudah ada pihak yang mengatakan bahawa statistik menunjukkan betapa mereka yang kena saman kerana membeli nombor ekor di kedai-kedai judi ini lebih rendah jumlahnya berbanding dengan mereka yang dikenakan saman ekor. Apakah ini sebabnya saman ini dikenali sebagai saman ekor dan bukannya saman trafik?

PDRM mengesahkan telah mengeluarkan sebanyak kira-kira 10 juta saman ekor setakat ini manakala dari 2.5 juta saman yang dikeluarkan, 1.7 juta pemandu telah disenaraihitamkan. Besar kemungkinan ada pembaca mungkin tergolong dalam kumpulan ini dan akan menghadapi masalah memperbaharui cukai jalan kelak. Oleh kerana bayaran kesalahan trafik bukanlah murah maka pesalah trafik ini menggunakan jalan pintas untuk “kow tim” dengan pihak berwajib. Namun usaha itu tidaklah selalunya berhasil.

Walaubagaimanapun pesalah ini terdedah kepada tindakan mahkamah kerana cuba merasuah pihak berkuasa jika perbuatan mereka itu dilaporkan. Namun walau dalam apa jua keadaan dan ruang lingkup sekalipun, pesalah trafik telah menampilkan keberanian untuk menyelesaikan saman tanpa perlu ke balai polis untuk menjelaskan denda yang telah dikenakan.

Telah beberapa kali Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tampil di kaca tv menjelaskan tentang kontroversi isu saman ekor serta juga sikap pengguna jalanraya yang tidak berdisiplin sewaktu memegang stereng kereta. Jangan marah tetapi kebanyakkan daripada kita sewaktu berada di jalan raya terutama di lebuh raya, ibarat manusia yang kena rasuk dan seolah-olah berada di Litar Lumba Sepang. Sikap pemandu begini bukan saja membahayakan diri sendiri malah mereka membahayakan pengguna lain yang kebetulan turut sama menggunakan kemudahan awam tersebut. Sikap pemandu di negara ini adalah punca kadar kemalangan jiwa meningkat saban tahun. Tetapi saman ekor yang diperkenalkan selama ini nampaknya tidak membantu mencegah atau mengurangkan kadar kemalangan maut.

Kebanyakan pemandu tidak berdisiplin malah sikap mementingkan diri sendiri sebagai faktor berlakunya kemalangan. Mereka bukan sahaja memandu melampaui had pemanduan di lebuh-lebuh raya tetapi bercakap di telefon bimbit, atau lebih merbahayakan lagi membaca dan membalas SMS ketika memandu. Kita seolah-olah berada di bawah sedar ketika melakukan ini semua.

Saman ekor mungkin berkesan dalam memberkas mereka yang dengan sengaja melanggar undang-undang trafik. Namun demikian impaknya secara keseluruhan dalam mendidik dan mengubah budaya penggunaan jalan raya di negara kita dilihat sebagai masih lagi di tahap paling minima. Ini mungkin kerana pelaksanaannya yang masih meninggalkan ruang untuk pesalah terlepas dari membayar denda maksimum atau terlepas sama sekali.

Undang-undang harus dilaksanakan secara adil kepada semua. Jika rayuan diperbolehkan untuk kesalahan yang jelas telah dilakukan, maka kaedah itu tidak bermakna lagi dan satu formula lain perlu difikirkan bagi memikirkan cara mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Justeru timbul persoalan: Bukankah matlamat kerajaan membelanjakan jutaan ringgit wang rakyat untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan bukannya mengutip jutaan ringgit daripada pesalah-pesalah trafik?


mStar Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails