Tuesday, August 17, 2010

Politik perkauman Perkasa-Umno amat berbahaya

Dtulis oleh : Faisal Mustaffa

Di dalam keghairahan mendapat perhatian di dalam media dan sokongan masyarakat umum yang berada di atas pagar dan mereka yang benar-benar tidak mendapat maklumat sebenar, Perkasa telah menggunakan kaedah menjadikan seorang mangsa sebagai kambing hitam.

Persoalannya siapakah yang benar-benar layak di kambing-hitamkan? Akhirnya, individu yang ‘bertuah’ tersebut ialah Helen Ang, seorang wanita berbangsa Tionghua dan penulis rencana yang agak moderate tetapi kadang-kadang menyengat.

Rencana-rencana tulisannya disiarkan di dalam media sesawang Malaysiakini dan Centre for Policy Initiatives.

Perkasa mencadangkan agar Helen disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di dalam laporan polis yang dikemukakan, mereka mendakwa Helen “dengan angkuhnya” memburuk-burukkan Yang Di-Pertuan Agung Tuanku Mizan dengan mempertikaikan kuasa baginda.

Media propaganda Umno, Utusan Malaysia pula melemparkan tuduhan liar melaporkan, ‘Perkasa minta polis siasat Helen Ang pertikai hak Melayu, Islam’ dan ‘Perkasa lapor portal pertikai Islam’.

Rencana beliau yang agak menimbulkan kemarahan Perkasa ialah melalui artikelnya bertajuk ‘Enforcing NEP on minority religions’ yang disiarkan pada Ogos 4 di CPI.

Perkenalan kami

Aku mula mengenali Helen Ang ini selepas beliau mengajak aku bersama-sama menyumbang di laman CPI. Kemudiannya, aku dijemput sebagai speaker forum di BUM2009 pada Mei 16, 2009 di mana beliau sebagai moderator sesi perbincangan yang diadakan dalam Bahasa Melayu. Ahli-ahli panel lain terdiri daripada Fathi Aris Omar (pengarang Malaysiakini), Fahri Azzat (laman Loyar Burok) dan A.Kadir Jasin (mantan pengarang kumpulan NSTP).

Di kebanyakan waktu aku berjumpa dengannya, Helen berbaju kurung ringkas dan kami berbahasan Melayu – seolah-olah aku sedang berbicara dengan seorang wanita Melayu terakhir.

Beliau berwajah riang, bersuara lembut dan berwatak feminin.

Sekiranya kita melihat definisi Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang Melayu ialah individu yang memenuhi tiga criteria; 1) mengamal adat Melayu 2) berbahasa Melayu 3) beragama Islam.

Ya, Helen sudah memenuhi dua kriteria yang boleh menjadikan dia ‘Melayu’. Sehingga ada Melayu sendiri yang tidak memenuhi ketiga-tiga criteria tersebut dan masih mengakui mereka Melayu – sekiranya kita mengenakan syarat ‘keMelayuan’ yang agak cerewet – misalannya berpakaian pyjamas dan bukan sarung ketika tidur, makan dengan sudu garfu, berbahasa Inggeris di rumah dan tidak sembahyang.

Di dalam kelembutannya itu, ada juga ketegasan yang dipaparkan. Pada Mei 7, 2009, Helen bersama-sama 35 orang yang lain ditahan semasa berhimpun dan berpakaian hitam sewaktu punahnya demokrasi di Perak.

Aku bertanya sendiri, “manakan pula wanita yang aku kenali sebegini sanggup untuk menggugat kepentingan Melayu?”

Aku membaca dua kali lalu rencana yang dituliskannya itu dan tidak satu pun perkataan yang merujuk kepada Tuanku Mizan atau pun YDP Agong.

Sanggup mereka ini melontar tohmahan sebegini.

Momokan supaya ditanam kebencian




Senjata sebegini sudah tentu akan memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk bertindak – tanpa usul periksa. Lihat apa yang berlaku kepada Teresa Kok melalui laporan berita isu makanan anjing dan pakaian di luar masjid sengaja diperbesarkan oleh akhbar berbahasa Melayu itu bagi menanam kebencian orang Melayu terhadapnya.

Teresa menuduh isu perkauman dan agama dibangkitkan oleh sesetengah pemimpin Umno Selangor. Di Selangor terdapat 55 peratus penduduk Melayu, 30 peratus Cina dan 14 peratus India. BN menyedari bahawa semasa pilihan raya umum lalu, pengundi Melayu mengundi calon Pakatan Rakyat. Ini adalah penting bagi Umno untuk menarik kembali pengundi Melayu di Selangor. Jadi, Utusan Malaysia dan TV3 menjadi saluran mereka.

Melalui perkara yang berlaku terhadap Teresa ini, diharap rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu sedar bahawa politik perkauman yang dimainkan oleh Umno amat berbahaya bagi kita semua. Namun, sekarang Perkasa cuba mempermainkannya pula.

Teresa bukan seorang yang tidak memahami budaya Melayu dan Islam. Teresa mendapat gred A bagi mata pelajaran Tamadun Islam dalam pengajian universitinya. Baginya, banyak persamaan baik di antara Kristian dan Islam. Beliau mampu menghayatinya terutama dari segi nilai dan pandangan terhadap dunia.

Begitu juga Helen bukan seorang yang tidak memahami budaya Melayu. Pada bulan Mac tahun lepas, beliau telah menyertai demo jalanan bagi mempertahankan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita.

Beliau telah menceritakan tentang pengalamannya ketika terlibat dalam protes tersebut: “Perjuangan [bagi memansuhkan PPSMI] didokong masyarakat pelbagai bangsa yang bersatupadu dan berhimpun seramai lebih kurang 8,000 orang di perkarangan Masjid Negara petang Sabtu lalu. Kami telah dijemput oleh seorang [wakil yang] menggunakan pembesar suara supaya memasuki halaman masjid untuk menggelakkan diri [daripada terkena semburan meriam air (‘water cannon’) dan gas pemedih mata]”.

[Solidarity for the cause clearly cut across ethnic lines last Saturday afternoon when a crowd of about 8,000 collected in the vicinity of Masjid Negara. Someone on a loudhailer invited all of us, irregardless of religion, to enter the mosque premises for sanctuary.]

Rencananya yang menyokong agar matapelajaran Sains dan Metamatik diajar dalam Bahasa Malaysia ataupun bahasa ibunda [baca ‘Math and Science: The case for BM’] jelas menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib para pelajar di kawasan luar bandar – kebanyakannya budak Melayu kampung – yang ketinggalan dalam kedua-dua matapelajaran tersebut angkara dasar bahasa pengantar dialihkan kepada Bahasa Inggeris.

Penahanan Teresa di bawah ISA dan mencadangkan agar Helen ditahan di bawah ISA juga adalah suatu saya menganggap sebagai jalan terakhir bagi Umno dan Perkasa ini.

Bagaimana orang Melayu dan penganut Islam boleh dihormati sekiranya bersikap sedemikian? Orang Melayu Islam sepatutnya lebih mesra dengan bangsa-bangsa lain dan penganut agama lain bagi menarik perhatian mereka mengenali dan memahami budaya. Inilah yang terpenting.


http://english.cpiasia.net

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails