Sunday, August 15, 2010

PERKASA bantah tender terbuka

“Ini kerana ia seolah-olah mahu menghakis sedikit kekayaan ekonomi yang masih dimiliki orang Melayu dan Bumiputera di negara ini,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Nampaknya Ibrahim Ali ini lebih selesa jika kerajaan UMNO/BN menganugerahkan terus tanah-tanah tersebut kepada kroni mereka, biarpun selama ini kita telah melihat betapa besarnya kerugian yang dialami oleh kerajaan UMNO/BN.


Perkasa bantah tender terbuka jual tanah strategik kerajaan
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Perkasa menentang cadangan kerajaan untuk menggunakan mekanismes tender terbuka bagi penjualan tanah-tanah strategik dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Perkasa dengan keras menentang habis-habisan cadangan kerajaan untuk melakukan tender terbuka bagi tanah-tanah strategik kerajaan termasuk GLC.

“Ini kerana ia seolah-olah mahu menghakis sedikit kekayaan ekonomi yang masih dimiliki orang Melayu dan Bumiputera di negara ini,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali ketika sidang media hari ini.

Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji semula cadangan tersebut supaya ada mekanisme baru walaupun tender terbuka tetapi mesti mengandungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

“Seperti yang tercatit dalam muka surat 94 laporan RMK-10, kalau tender terbuka dibuat tanpa mengambil kira kepentingan orang Melayu dan Bumiputera apa akan jadi milik dan aset ekuiti mereka dalam negara ini?

“Ia termasuk tanah-tanah tanah-tanah strategik di kawasan “Segitiga Emas” sekitar KLCC, Langgak Golf dan di mana sahaja tanah strategik serta GLC seperti Percetakan Nasional Berhad, CTRM dan Nine Bio.

“Justeru, saya percaya kalau diteruskan dengan apa yang dicadangkan dalam Model Ekonomi Baru (MEB) dan RMK10 pada muka surat 94 secara tender terbuka saya percaya kepentingan Bumiputera yang dikatakan dalam agenda MEB tidak akan kesampaian dan akan jadi retorik semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mencadangkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Uda Holding Sdn Bhd turut mengambil kira kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dalam memajukan tanah-tanah strategik.

“PNB akan memajukan hartanah di kawasan Stadium Negara dan Stadium Merdeka, jika PNB memajukan tanah ini dengan harga jualan yang terlalu mahal maka orang Melayu pasti tidak akan mampu membelinya maka harta Melayu akan jatuh kepada bukan Melayu.

“Maka PNB diseru ambil kira pertimbangan ini iaitu dalam melaksanakan projek di kawasan stretagik itu harus ambil kira pertimbangan orang Melayu dan akan jejaskan hak 30 peratus ekuiti seperti yang disasarkan,” katanya.

“Selain itu, Uda Holding telah diamanahkan untuk memajukan tapak Penjara Pudu dan kita harap sebahagian besar pemilikan tanah di kawasan itu juga dapat dimiliki oleh orang Melayu,” katanya.

Beliau juga mahu pembangunan di Sungai Buloh, Sungai Besi dan 118 projek lain perlu melibatkan orang Melayu.

“Kita mahu orang Melayu mendapat sebahagian daripada daging bukannya tulang atau kuah yang tiada isi,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails