Tuesday, August 24, 2010

Perbalahan UMNO-MCA bukti kegagalan 1Malaysia

SHAH ALAM - Perbalahan dalam kalangan pemimpin UMNO berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semasa Kongres Ekonomi Cina (KEC) baru-baru ini menunjukkan kegagalan konsep 1Malaysia yang dicanang oleh Perdana Menteri.

Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kongres yang sepatutnya memberikan impak ekonomi positif kepada semua lapisan masyarakat bertukar ‘tragedi’ setelah membuat resolusi menuntut ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.

Menurutnya, kongres bertajuk Peranan Masyarakat Cina Dalam Mencapai Matlamat Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh itu juga meminta kerajaan mengamalkan sistem tender terbuka dalam penawaran kontrak kerajaan agar persaingan adil dan tidak berat sebelah dalam perniagaan tempatan dapat dicapai.

“Tuntutan itu adalah antara 12 deklarasi yang terkandung dan diluluskan dalam kongres berkenaan. Agak memeranjatkan apabila Dr Chua mempertahankan 12 resolusi yang diluluskan dengan menyatakan bahawa kongres berkenaan langsung tidak menyentuh hak istimewa masyarakat Melayu.

“12 resolusi KEC ini menimbulkan pertikaian dan pertikaman lidah di antara kepimpinan MCA dengan UMNO serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Khairul Faizi berkata, berikutan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin memberi amaran kepada MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“Presiden MCA pula sebaliknya mengingatkan beliau bahawa keadaan sosioekonomi Malaysia telah berubah dan tidak perlu baginya mengungkit lagi pertumpahan darah 13 Mei 1969.

“Melihat kepada perbalahan itu, jelas terdapat kepincangan dalam Konsep 1Malaysia yang kononnya mendapat sambutan daripada rakyat, tetapi sebenarnya konsep yang rapuh kerana masih menimbulkan percanggahan minda dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri,” katanya.

Beliau berkata, konsep 1Malaysia adalah satu slogan untuk menipu rakyat supaya kembali berpaut kepada UMNO atau BN terutama masyarakat Cina dan India, sedangkan masalah utama yang menimbulkan perselisihan serta perbalahan kaum tidak diselesaikan.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails