Monday, August 23, 2010

Majlis Perundingan Melayu dakwa Pakatan mahu hancur institusi diraja

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendakwa terdapat segelintir dalam Pakatan Rakyat (PR) berusaha mahu menghapuskan sistem raja berperlembagaan dan institusi diraja.

Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad berkata ia terbukti dalam isu mengeluarkan nama Yang di-Pertuan Agong dari khutbah Jumaat dan digantikan dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Mereka mempergunakan orang-orang Melayu yang kurang cerdik untuk bersetuju dengan rancangan mereka untuk jadikan Malaysia sebuah republik,” kata Hasan selepas mesyuarat tergempar MPM hari ini.

Menurut Hasan, insiden ini adalah insiden keempat ‘penderhakaan’ terhadap institusi diraja dan semuanya dilakukan oleh pemimpin PR.

Beliau merujuk kepada tindakan PR mempertikai peranan Sultan Perak ketika krisis Perak tahun lalu, insiden memalukan Raja Permaisuri Agong oleh kerajaan Selangor 4 Julai lalu serta penemuan kain rentang dengan lambang PKR yang menggunakan gambar Sultan Johor ketika ceramah politik PKR di Batu Pahat.

“Dah empat insiden berlaku, semuanya di kalangan Pakatan Rakyat. Mereka dengan cara halus semai kebencian ke atas institusi diraja,” kata beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Gagasan Melayu Perak, Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM mendakwa arahan membaca khutbah kepada khatib menggunakan nama Ketua Menteri datangnya daripada pemimpin tertinggi negeri.

“Walaupun Lim Guan Eng nafikan, tapi khatib tak akan baca kalau tiada yang suruh,” katanya.

Kontroversi ini timbul setelah Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beberapa masjid telah menggugurkan nama Tuanku Mizan Zainal Abidin dan digantikan dengan Lim dalam doa khutbah.

Umno menyenaraikan enam masjid yang didakwa menggunakan nama Ketua Menteri, yang khutbah keduanya disampaikan oleh khatib-khatib jemputan sejak Februari lalu walaupun laporan awal menyebut ia disampaikan dua Jumaat lalu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya hal itu, malah, Lim sendiri mendakwa tidak tahu langsung mengenai perkara ini sehingga kenyataan Ahmad Zahid dikeluarkan di akhbar.

Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Abdul Malik Kassim berkata jabatan hal ehwal agama Islam tidak pernah menerima ataupun mengeluarkan arahan agar nama Lim digunakan dalam khutbah Jumaat.

Polis Pulau Pinang telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu kejadian khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Ketua Menteri.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata polis negeri telah menerima dua laporan mengenai isu itu iaitu yang pertama dibuat di Balai Polis Butterworth dan satu lagi di Balai Polis Tasek Gelugor dalam daerah Seberang Perai Utara.

“Satu pasukan khas polis telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tersebut dan sehingga kini 15 orang saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails