Thursday, August 5, 2010

KL disenarai bandar miskin tegar?

Ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng melahirkan rasa malunya apabila ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur disenaraikan mempunyai banyak kawasan yang yang dihimpit kemiskinan.

Ini katanya, berdasarkan jawapan bertulis yang diterimanya daripada kedua-dua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berhubung soalannya mengenai kawasan-kawasan di bandaraya yang dikenalpasti sebagai kawasan miskin tegar.

Lim berkata soalanya dikemukakannya pada April lalu sebelum sidang Dewan Rakyat yang terakhir tetapi hanya menerima jawapannya melalui pos minggu lalu.

“Bagaimana KL yang diletakkan sebagai tempat utama bagi mengadakan sidang dan mesyuarat di dunia mempunyai kawasan miskin tegar?” soal ahli parlimen DAP itu di pusat khidmatnya di Segambut hari ini.

Semalam, akhbar harian Inggeris, the Star melaporkan Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa meletakkan Malaysia di tangga ke-22 di kalangan bandaraya yang diplih sebagai tempat bermesyuarat pilihan dunia. Ia juga menduduki salah satu tempat teratas di kalangan negara-negara Asia Pasifik.

Lim juga melahirkan kebimbangannya kerana jawapan yang diberikan tidak memberikan perincian berhubung kriteria yang digunakan bagi melabelkan sesuatu kawasan itu sebagai miskin tegar kerana terdapat perbezaan ketara dalam jawapan kedua-dua kementerian.

“Jawapan yang diberikan menimbulkan lebih banyak soalan,” kata Lim.

Beliau kemudian mengedarkan jawapan bertulis berkenaan kepada pemberita untuk menunjukkan perbezaan data yang dibekalkan itu.

Menurut jawapan Raja Nong Chik terdapat 135 kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan miskin tegar manakala jawapan Perdana Menteri pula menyebut ada 92 kawasan seumpama itu.

Kedua-dua jawapan itu gagal memberikan jumlah orang yang dilabelkan miskin tegar dan mengapa kawasan mereka dianggap dalam keadaan daif.

Jawapan perdana menteri, kata Lim menyenaraikan kawasan miskin tegar di kebanyakan kawasan yang padat kependudukannya di semua 13 negeri dan dua wilayah persekutuan di Kuala Lumpur dan Labuan.

“Berdasarkan jawapannya itu, tidak salah saya katakan Malaysia adalah negara miskin tegar,” kata Lim.

Jika ini benar, kata Lim, Malaysia tidak ada bezanya dengan negara dunia ketiga dan kerajaan perlu berusaha keras menyelesaikan perkara berkenaan.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails