Thursday, August 26, 2010

KJ : Jika UMNO sokong Perkasa, saya keluar UMNO!!

Khairy Jamaluddin memberi amaran beliau akan meninggalkan parti itu jika majoriti ahlinya menyokong pertubuhan bukan kerajaan Melayu, Perkasa yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

Boleh jadi Najib pula berkata.. kalau hang nak keluar, keluarlah Khairy.. senang sikit aku nak buat kerja..

Khairy keluar jika majoriti Umno sokong Perkasa

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi amaran beliau akan meninggalkan parti itu jika majoriti ahlinya menyokong pertubuhan bukan kerajaan Melayu, Perkasa yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

Menyangkal tanggapan Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS Khalid Samad bahawa Umno kini “tenggelam” di sebalik aktiviti Perkasa yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali, Khairy berkata, bukan setiap ahli parti dominan Barisan Nasional itu menyokong pertubuhan tersebut.

“Jika wujud situasi di mana mereka (ahli Umno) memilih Perkasa berbanding saya, saya akan keluar,” kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau di sini semalam.

Kedua-dua wakil rakyat itu mengambil bahagian dalam Forum Ramadan 2010 anjuran majalah The Leaders di sini malam tadi.

Dipetik New Straits Times, Khairy sekali lagi melahirkan pendirian menentang isu-isu yang dibawa oleh Perkasa sejak kebelakangan ini.

Jun lalu kedua-dua Khairy dan Ibrahim terlibat dalam perang kenyataan dengan ketua Perkasa itu mempertikaikan kepimpinan Khairy sambil menegaskan beliau sebenarnya “bangga dengan label jaguh politik kampung” yang diberikan oleh Ketua Pemuda Umno itu berhubung isu membela Ketua Pemuda MCA dalam isu biasiswa.

“Saya bangga kerana dipanggil jaguh kampung... sekurang-kurangnya saya dekat dengan rakyat, bermakna (saya) barang ‘asli’.

“Saya adalah seorang jaguh kampung macam lembu jantan berani berjuang... apa yang datang di depan saya, saya akan lawan habis,” kata Ibrahim.

Ketika itu Khairy menyifatkan Ibrahim sebagai “ahli politik jaguh kampung” yang tiada hak sama sekali untuk mendesaknya berhenti sebagai wakil rakyat hanya kerana membela Datuk Dr Wee Ka Siong.

Khairy mengetuai Pergerakan Pemuda Umno sejak Mac 2009.

Dalam kenyataan terbaru awal minggu ini, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas menyertai senarai pihak yang menggesa agar mereka yang menyentuh soal kepentingan Bumiputera dan kontrak sosial supaya balik ke negara asal mereka.

Ibrahim berkata “siapa yang tidak menghormati kontrak sosial iaitu Perkara 153 boleh keluar Malaysia, balik negara asal nenek moyang.”

“Jangan hipokrit,” kata Ibrahim yang lazimnnya lantang dalam kenyataan dikirim menerusi khidmat pesanan ringkas.

Dalam pada itu laporan Bernama memetik Khairy berkata, kerajaan mesti bersikap adil dan telus dalam pemberian projek pembangunan bagi menarik minat pelabur swasta.

“Kerajaan perlu membuktikan bahawa peluang mendapatkan projek pembangunan akan diberikan kepada syarikat yang menawarkan harga serta nilai terbaik kepada kerajaan dan ia perlu dibuat secara terbuka dan telus.

“Sama ada penswastaan pangkalan udara (Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi) atau penswastaan Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh, kesemua pemberian projek tersebut mesti dibuat secara terbuka dan telus,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata kerajaan perlu melaksanakan sistem ekonomi yang lebih liberal dan telus, bebas daripada campur tangan politik dan amalan kronisme.

“Jika kita masih mengharapkan pelabur asing membelanjakan wang mereka di sini, bagaimana ia boleh dilakukan jika kita tidak tahu siapa yang membangunkan tanah pangkalan udara Sungai Besi atau tapak di mana Penjara Pudu pernah ditempatkan?” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails