Thursday, August 19, 2010

Aku dipanggil BANGSAT oleh Ezam..

Oleh : Nathaniel Tan

19 OGOS — Bukan setiap hari saya dipanggil “bangsat” oleh seorang senator — pengalamannya amat unik.

Izinkan saya beberapa baris sahaja untuk menggulas.

YB Ezam Md Nor berkata demikian pada 16 Ogos di Twitter; beliau seterusnya mempertahankan penggunaan perkataan tersebut dengan mengatakan “sy pertahan penggunaan bangsat.memang wajar utk stgh orang yg menepati maksud yg dinyatakan dalam kamus agung dewan bahasa pustaka”.

Beliau juga berhujah bahawa tiada masalah mengguna perkataan ini kerana ia digunakan dalam dokumen makhamah dan akuan sumpah.

Kalau begitu, saya agak pelik dan keliru mengapa saudara Ezam tidak sering mengguna perkataan tersebut dalam Dewan Negara, televisyen, dan sebagainya.

Beliau turut kata “isu bangsat utk pertahan maruah”. Saya tidak begitu jelas orang bermaruah mana yang sering mencarut, tetapi tidak mengapa.

Pada keseluruhannya, tiada sebab untuk saya mengambil hati, dan kita harus menggiatkan amalan maaf di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tujuan sebenar artikel

Tujuan sebenar saya untuk menulis artikel ini adalah untuk meneliti sejarah YB Ezam; mungkin pengalamannya boleh menjadi amanat kepada orang muda yang berminat menceburi bidang politik.

Saya amat mengkagumi penglibatan awal saudara Ezam, terutamanya ketika Anwar Ibrahim dipecat. Beliau dengan taat setia mempertahankan bosnya dan melawan kerajaan BN tanpa mengenal lelah.

Saya juga menghormati ketabahan YB Ezam dalam menghadapi percubaan dalam bentuk dua tahun di penjara. Walaupun saya, seperti beliau, disiasat di bawah OSA, saya tidak terpaksa mengalami keperitan beliau.

Masalahnya nampak bermula tidak lama selepas 2004, selepas kedua-dua individu dilepas dari penjara.

Sedikit demi sedikit, kerjaya politik Ezam dinampak mundur. Ada yang kata kerana bertengkar dengan Azmin, ada yang kata kerana tidak cukup peluang kewangan, ada yang kata macam-macam.

Saya sendiri tidak tahu butir-butir apa yang berlaku. Pokoknya, pada 2007, Ezam membuat keputusan bahawa PKR tidak lagi sesuai untuknya.

Di Malaysia, tindakan keluar parti ini cukup biasa. Saya menghormati hak setiap individu untuk memilih landasan yang paling sesuai untuknya.

Keluar parti: Berhemah vs Khianat

Ada yang tinggalkan parti dengan berhemah — seperti saudara Abdul Rahman Othman yang pernah hampir bertanding jawatan Presiden PKR. Sehingga hari ini, beliau tidak pernah mengucap satu kata pun yang bersifat dendam. Ramai lagi yang pernah meninggalkan atau menjauhkan diri dari parti dengan senyap atas sebab-sebab sendiri. Kita hormat keputusan mereka.

Malangnya, kebanyakkan yang isytihar keluar parti tiba-tiba pula menyerang parti dan Anwar bertubi-tubi — Ezam, Chandra Muzaffar, Nallakaruppan, Zulkifli Nordin, Wee Choo Keong, Zahrain Hashim, dan sebagainya.

Kita kadang-kala agak hairan sedikit dengan perangai individu-indvidu ini. Satu hari mereka penyokong paling kuat PKR dan Anwar, besok pula “Anwar peliwat”, “Anwar diktator lemah” dan sebagainya. Apakah prinsip boleh berubah dengan begitu mudah?

Di Twitter juga, saudara @Aisehman bertanya dengan ikhlas satu soalan mudah kepada YB Ezam: “Bila dan bagaimana anda sedar Anwar itu peliwat?”

Sedihnya, sampai hari ini tiada penjelasan terperinci dari saudara Ezam.

Obsesi YB Ezam dengan menyerang seorang isteri, ibu dan nenek yang tidak terhad sifat penyayangnya, Datuk Seri Wan Azizah, turut amat mengecewakan.

Berpaling tadah

Apabila sesiapa sahaja berpaling tadah sampai begitu drastik, kita terpaksa bertanya-tanya: apakah benar-benar pengetahuan dan persepsi individu tersebut betul-betul direformasi, atau adakah sebab lain mereka melompat begitu jauh?

Saya rasa satu aspek penting dalam hikayat riwayat saudara Ezam adalah bahawa beliau adalah seorang politikus 100 peratus. Maknanya, beliau hampir tiada apa-apa selain politik — terutamanya dari segi kerjaya.

Mungkin beliau ingin menonjolkan diri sebagai pejuang anti-rasuah, tetapi jeritan ini agak kosong apabila kita lihat keengganan beliau untuk “melawan” dalam kes Scorpene, jet Sukhoi dan sebagainya. Nampaknya “perang” rasuah, tetapi hanya rasuah yang tidak melibatkan bos-bos barunya.

Beliau sering dibanding dengan Azmin, yang dikatakan diberi semua peluang yang sama, tetapi kini mampu berdikari dengan adanya sebuah perniagaan menjual kereta yang cukup berjaya.

Apabila seseorang yang tiada jalan lain selain politik berdepan dengan jalan buntu dalam satu kem, maka beliau terpaksa mencari kem baru (atau balik ke kem lama) untuk teruskan kerjayanya — walaupun kadangkala ini mengakibatkan persepsi pengorbanan prinsip.

Saya mengaku, amat menyedihkan apabila melihat insan terpaksa berdepan dengan pilihan ini. Amanat yang saya rasa orang muda dan baru belajar seperti saya harus ambil adalah supaya jangan pada bila-bila masa bergantung 100 peratus kepada politik. Ini bahkan sebuah perangkap.

Situasi sebegini juga memberi peluang kepada kita untuk merenungkan sedikit wadah politik negara yang semakin menghampiri sistem dwi-parti.

Walaupun sistem dua parti adalah jauh lebih baik dari sistem satu parti, dalam jangka masa panjang, mungkin ini pun tidak cukup untuk mencerminkan realiti politik moden. Salah satu akibat sistem ini adalah kekurangan pilihan — bagi rakyat ataupun ahli politik.

Sesetengah orang akan selalu terperangkap antara dua parti, seperti bola ping pong. Keadaan ini tidak menguntungkan siapa-siapa. Mungkin masa untuk memikirkan sistem yang lebih inklusif dan kurang bersifat “zero sum” sudah tiba.

Jalan reformasi ini memang panjang — bukan semua yang boleh mendahulukan prinsip sepanjang jalan. Satu hari, setiap di antara kita akan diuji, dan kita hanya boleh harap kita tidak akan jual diri kita atau hilang komitmen kita kepada kebenaran.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails