Tuesday, August 24, 2010

Khatib dipanggil hari ini..

GEORGETOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan mengambil keterangan Khatib Zakaria Ahmad hari ini kerana menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa khutbah kedua solat Jumaat baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Ellias Zakaria berkata, sesi penjelasan akan didengar pada jam 2.30 petang di pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), Lebuh Pantai, di sini.

Menurutnya, Zakaria, dari Perak akan memberi penjelasan kepada panel yang diketuai oleh beliau sendiri dan terdiri daripada Pengarah JAINPP, Sazali Hussein serta pegawai tadbir agama daerah.

“Individu yang terlibat dalam isu ini sudah buat pengakuan bahawa beliau ada menyebut nama Ketua Menteri dalam doa khutbah Jumaat. Sebelum ini, kita hanya mendengar laporan mengenai perkara itu menerusi media dan kita akan meminta penjelasan daripadanya esok (hari ini),” katanya.

Ellias berkata, MAINPP sudah mengumpul segala maklumat yang diperlukan, namun sehingga hari ini tidak dapat mengumpulkan ayat sebenar dan perkataan yang digunakannya ketika menyampaikan khutbah itu.:

Menurutnya, Mufti Negeri, Datuk Hassan Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teks Khutbah Pulau Pinang, tidak akan menghadiri sesi itu kerana mempunyai urusan lain.

Ditanya sama ada setiap khatib perlu menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri dalam doa khutbah Jumaat, Ellias berkata, Perkara 6 Peraturan Penyampaian Khutbah ada menyatakan dua nama perlu disebut.

“Selain rukun khutbah, dua nama perlu disebut dalam doa iaitu Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah yang berkuasa atas hal ehwal agama Islam di negeri ini, dan Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Ellias berkata, hal itu bagaimanapun akan ditentukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sama ada nama-nama lain boleh disebut dalam doa khutbah Jumaat.

Sehubungan itu, katanya, MAINPP dan JAINPP akan menggiatkan pemantauan di semua masjid bagi memastikan standard yang ditetapkan dalam perkara itu dihormati.

“Kami berazam untuk memaksimumkan peranan khatib dan imam di masjid dan surau supaya mereka menunaikan amanah sebagai khatib pada setiap Jumaat dengan baik dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat,” katanya.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails