Monday, August 16, 2010

Kes DSAI ditangguh ke 20 September.

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan hingga akhir bulan depan bagi membolehkan Ketua Pembangkang itu membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan agar tuduhan ke atasnya digugurkan ekoran hubungan romantis Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif.

Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah menangguhkan kes sehingga 20 September ini.

Pasukan peguam Anwar mengemukakan notis penangguhan prosiding kes sementara tarikh rayuan ditetapkan.

Zabidin membenarkan permohonan penangguhan prosiding sambil menjelaskan "situasi khas" telah berjaya diketengahkan oleh pasukan pendakwa Anwar.

“Rayuan bukan kaedah untuk melengah-lengahkan perbicaraan, perlu ada situasi yang khas,” kata beliau.

“Adalah adil jika perkara ini diuruskan oleh mahkamah rayuan sebelum tindakan selanjutnya... oleh itu permohonan untuk penangguhan dibenarkan,” kata Zabidin.

Hakim akan menentukan pada 20 September sama ada perbicaraan perlu diteruskan seperti sedia kala dengan mengambil kira tarikh perbicaraan rayuan yang bakal dikemukakan oleh Anwar.

Peguam utama Anwar Karpal Singh berhujah jika keputusan Zabidin pada sebelah pagi tadi adalah muktamad, maka ia akan menafikan hak pihak terlibat dalam kes ini.

Karpal memberitahu, isu yang menjadi pertimbangan mahkamah akan menjadi interlokutori jika keputusan hari ini diubah oleh Mahkamah Rayuan kelak.

Bagaimanapun Peguam Cara Kanan II Datuk Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa keputusan mahkamah pagi tadi bukan muktamad dan oleh itu, permohonan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan tidak timbul sama sekali.

Mohd Yusof berkata, penangguhan hanya harus diberikan di akhir perbicaraan, bukannya di pertengahan kes yang sedang berlangsung.

Seorang lagi peguam pasukan Anwar, Sankara Nair memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa sekiranya rayuan dibenarkan, masa proses pendakwaan dan penghakiman akan terbazir.

“Dalam hujahnya, Mohd Zabidin berkata pasukan pembela telah mengetengahkan situasi khas dan oleh itu, jika perbicaraan diteruskan dengan rayuan pula dibenarkan, masa pihak hakim dan pendakwa akan terbuang,” katanya.

“Wang rakyat juga akan terbuang,” katanya.

Pagi tadi Anwar gagal dalam usaha keduanya untuk membatalkan pertuduhan liwat yang dihadapi apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonannya itu.

Dalam permohonan kali kedua untuk membatalkan pertuduhan liwat itu, Anwar mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan sulit antara Saiful dan Farah Azlina.

Anwar mendakwa berikutan dari perhubungan sulit itu, Saiful mempunyai akses kepada maklumat yang terkandung dalam kertas sisatan kes yang menyebabkan beliau tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

Zabidin dalam menolak permohonan Anwar itu memutuskan bahawa integriti pihak pendakwaan tidak terjejas kerana Farah Azlina tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan dan beliau juga tidak mempunyai pengetahuan (privy) kepada perjalanan pendakwaan dalam kes itu.

Beliau berkata seperti yang dinyatakan dalam afidavit pihak pendakwaan peranan Farah Azlina hanya mencatat nota keterangan di mahkamah dan beliau bukannya Timbalan Pendakwa Raya yang menentukan perjalanan kes itu, maka hubungan itu tidak mempengaruhi keterangan Saiful dalam kes tersebut.

Anwar, 63, yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Selepas membacakan keputusan itu, Zabidin mengarahkan pasukan pembela untuk membuat pemeriksaan balas terhadap pakar bedah Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Razali Ibrahim, saksi kedua pendakwa selepas Saiful memberikan keterangannya.

Bagaimanapun, Karpal memohon untuk menagguhkan perbicaraan selama setengah jam bagi membolehkan beliau memfailkan notis rayuan.

Karpal: “Kami akan membuat pemeriksaan balas saksi kedua tapi bagi kami masa setengah jam, saya perlu mendapatkan arahan anak guam saya.”

Zabidin: “Saya pegang cakap anda, saya beri anda setengah jam.”

Apabila perbicaraan disambung, Karpal memaklumkan mahkamah bahawa beliau akan memfailkan permohonan penangguhan itu pada pukul 1 tengah hari.

Mahkamah menetapkan pukul 2.15 petang untuk mendengar permohonan itu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails