Wednesday, August 18, 2010

Kenyataan Media : RM400 untuk semua 3,577 kakitangan awam Pulau Pinang

Petang tadi aku siarkan berita 'RM400 Duit Raya buat Kakitangan Awam di Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat! ada seorang yang tiada nama telah meninggalkan komen "Kalau UMNO bagi ni mesti rasuah tapi khalifah umar lim guan eng bagi xdehalnye.Ape kejadah la mat dok sokong DAP ni."

Mungkin dia panas pasal dulu semasa UMNO diperkudakan oleh GERAKAN semasa memerintah Pulau Pinang, UMNO tak pernah terfikir untuk berbuat begini, pasal mereka lebih sibuk berfikir bagaimana untuk mengkayakan diri sendiri dan juga kroni mereka..

Jadi sebagai menghargai komen beliau kali ini aku siarkan Kenyataan Media oleh Lim Guan Eng pasal 'Geran kewangan istimewa sebanyak RM400 untuk semua 3,577 kakitangan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang' sepenuhnya...


Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar, George Town. Geran kewangan istimewa sebanyak RM400 untuk semua 3,577 kakitangan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan kos keseluruhan RM1.5 juta.

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini meluluskan geran kewangan istimewa sebanyak RM400 untuk semua 3,577 kakitangan awam kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang melibatkan kos RM 1.5 juta. Pembayaran sekaligus RM400 itu akan dibuat pada 3 September 2010, kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Kakitangan Awam Profesional

Semenjak Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia. Lagipun, Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu ke arah menjadi penanda aras antarabangsa.

Dalam masa kurang dari dua tahun, kita telah meraih beberapa pencapaian. Walaupun berdepan dengan diskriminasi dan pengurangan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang telah bertambah baik. Ramai yang merasakan bahawa Pulau Pinang semakin bersih dan bersinar. Pentadbiran bertemakan CAT kerajaan negeri Pulau Pinang yang menekankan kecekapan, kebertanggung jawaban serta ketelusan telah berjaya memulihkan jangkaan defisit bajet sebanyak RM35 juta dan RM40 juta pada tahun 2008 dan 2009 kepada lebihan, masing-masing sebanyak RM88 juta dan RM77 juta.

Pentadbiran CAT juga menjadi kebanggaan apabila mendapat pujian daripada Transparency International, buat pertama kalinya untuk mana-mana kerajaan di Malaysia. Pulau Pinang juga telah mewujudkan Anugerah Integriti dengan geran tunai sebanyak RM10,000 dan ganjaran lain kepada penjawat awam yang mendedahkan amalan rasuah atau salah laku. Penerima pertama ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Dato Yusof Musa yang turut dianugerahkan gelaran Dato setelah mendedahkan penyelewengan dengan nilai melebihi RM500,000 dalam pejabat mahkamah Syariah.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang juga turut menghadiahkan tunai sebanyak RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri ini tanpa sebarang pengiktirafan selama 51 tahun yang lalu. Pengiktirafan ke atas perkhidmatan mereka buat pertama kalinya itu membuktikan prestasi cemerlang akan meraih ganjaran sama rata tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan dalam mana-mana organisasi.

Kejayaan Pulau Pinang dalam mentransformasikan ke arah status Bandaraya Antarabangsa bergantung kepada kejayaan dalam membanteras kecenderungan serta pelaksanaan niat oleh “Napoleon Kecil” dan menyampaikan standard perkhidmatan awam antarabangsa. Jika kita berjaya, maka sangat adil untuk penjawat awam negeri turut menikmati gaji berskala antarabangsa.

Namun begitu, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan teragak-agak untuk menegur mana-mana pegawai kerajaan yang menyalah guna kuasa dan berlagak seperti “Napoleon Kecil” seperti tindakan Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunos. Kerajaan negeri Pulau Pinang komited dalam mempromosi dan memberi anugerah kepada para pegawainya yang cemerlang.

Pembayaran istimewa sekaligus sebanyak RM400 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang. Exco negeri Pulau Pinang berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan lebih baik.


LIM GUAN ENG


-------

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails