Thursday, August 26, 2010

Isu Khutbah : Zakaria tidak peduli tuntutan Zahid

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Khatib Zakaria Ahmad berkata tiada keperluan baginya untuk memohon maaf secara terbuka kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Tiada keperluan untuk saya memohon maaf kerana perkara ini telah dipolitikkan," kata beliau yang mencetuskan kontroversi kerana berdoa untuk Ketua Menteri Pulau Pinang ketika bacaan khutbah kedua Jumaat di sebuah masjid di negeri itu baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini berikutan desakan memohon maaf ini dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sambil mempertahankan tindakannya itu, beliau mendakwa isu tersebut sengaja dipolitikkan malah doa yang dibacakan berbentuk umum walaupun tidak menyebut nama Yang Dipertuan Agong.

"Bagi saya tidak perlu memohon maaf secara terbuka, sedangkan saya tidak bersalah dalam isu ini. Saya tidak gentar, saya benar dan betul. Saya sebut secara umum, tidak menyebut nama Yang Dipertuan Agong bukanlah derhaka.

Zahid harus bantu laksana hukum hudud

"Benda ini perlu dihentikan, kerana mereka sengaja memperbesar dan mempolitikkan isu ini," katanya.

Beliau menasihatkan Zahid agar memfokuskan hal-hal yang lebih penting berbanding isu tersebut.

"Zahid sebahagian daripada ahli majlis agama…..sepatutnya dia bantu kerajaan untuk laksanakan hukum hudud. Itu lebih penting, sebab hudud dapat membantu mengurangkan kes-kes jenayah yang semakin meningkat kini.

"Beliau patut bantu selesaikan masalah lain, bukan cuba memperbesarkan isu ini. Cukup-cukuplah, ini bulan puasa…," kata beliau.

Berhubung tindakan saman, beliau berkata ia masih dalam proses dan akan dilakukan selewat-lewatnya pada minggu hadapan.

Zahid dilaporkan semalam berkata, khatib yang dikaitkan dengan isu itu diminta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Yang Dipertuan Agong.

Beliau juga berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan dapat membuat satu keputusan rasmi berkaitan perkara tersebut.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails