Friday, August 13, 2010

Isu Bazar Ramadan : Patutkah kerajaan negeri dipersalahkan?

Isu peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dihalang dari menjalankan perniagaan mereka menjelang ramadan baru-baru ini telah menjadi satu isu hangat diperkatakan setelah 27 peniaga terbabit mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam isu ini, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah dipersalahkan kerana didakwa tidak membenarkan peniaga yang telah pun membayar wang cagaran sebanyak RM1,500 seorang bagi menyewa lot bazar tersebut di konkos, paras 3, KOMTAR.

27 peniaga yang terbabit juga mendakwa bahawa mereka dilarang untuk berniaga oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang menguruskan kompleks tersebut.

Menurut Pengurus Kanan PDC, Mohd Bazid Abdul Kahar, mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemulihan KOMTAR yang telah diadakan pada 5 Ogos yang lalu telah memutuskan untuk membenarkan 10 gerai sahaja beroperasi di paras ketiga dengan sewa sebanyak RM50 sehari.

Mengurangkan kesesakan

KOMTAR Merchant Association (KMA) yang merupakan penganjur kepada Bazar Ramadan ini telah pun membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemulihan KOMTAR pada 5 Ogos bersama-sama dengan pihak pengurusan PDC.

Dalam mesyuarat tersebut juga telah diputuskan supaya jumlah lot bagi peniaga yang akan menjalankan perniagaan mereka dihadkan kepada 10 sahaja. Ini adalah bagi mengurangkan kesesakan ekoran terlalu banyak gerai yang ditempatkan di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri tersebut.

Adalah difahamkan pada tahun 2009 yang lalu, kesesakan teruk berlaku dan menimbulkan kesulitan kepada orang ramai yang keluar masuk ke pusat pentadbiran Kerajaan Negeri di paras yang sama.

Pada 6 Ogos, PDC mengeluarkan surat kelulusan untuk penyewaan tapak bazar ini kepada KMA dengan syarat hanya 10 gerai dibenarkan untuk menjalankan perniagaan mereka. Namun begitu, sebaliknya KMA didakwa telah mendirikan 27 gerai sebelum mendapat surat kelulusan dari PDC dan mengutip sewa dari peniaga terbabit.

Rentetan daripada itu, apabila menjelangnya ramadan sebagai persediaan, para peniaga yang telah membayar deposit kepada KMA membuat persiapan untuk memasang gerai di ruang legar kompleks berkenaan, tetapi telah ditegah oleh petugas PDC dari meneruskan pemasangan tersebut.

Demonstrasi berlaku

Demonstrasi telah diadakan pada 9 Ogos di paras tiga oleh peniaga yang terlibat dengan menuntut supaya mereka dibenarkan untuk menjalankan perniagaan sepertimana yang dijanjikan oleh KMA sebagai penganjur.

Ekoran daripada itu, Pengurus Besar PDC, Rosli Jaafar telah mengeluarkan surat kelulusan bertarikh 9 Ogos dengan menyatakan sekiranya KMA sebagai penganjur tidak mahu membayar sewa yang dikutip dari para peniaga kepada PDC dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan maka PDC akan berurusan dengan 27 individu secara terus.


Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik bersama-sama dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Amir Md Ghazali (gambar) serta pimpinan telah turun padang bagi mengadakan perbincangan dengan pihak urus setia supaya tidak menyalahkan kerajaan negeri.

Hasil dari perbincangan yang telah diadakan, maka 21 peniaga sedia ada di paras 3 dibenarkan menjalankan perniagaan mereka sehingga hari raya sebelum kerja-kerja membaik-pulih dilaksanakan.

Sebanyak 17 lagi lot niaga di paras tiga dan 10 lagi lot di paras empat untuk Bazar Ramadan dibuka dan ianya kekal dengan kadar sewa sebanyak RM50 sehari seperti sebelumnya. Manakala diskaun sebanyak 50% turut diberikan kepada mereka yang menjalankan perniagaan di paras empat.

KMA dakwa kerajaan negeri halang peniaga Melayu

Naib Pengerusi KMA, Mohamed Ghani Abdul Jiman sebelum ini turut mendakwa kerajaan negeri cuba menghalang peniaga Melayu dari menjalankan perniagaan mereka menjelang ramadan melalui tindakan yang dilakukan ke atas para peniaga tersebut.

Namun begitu Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan kerajaan negeri tidak ada kena mengena dalam isu ini setelah penyeliaan bagi mengendalikan urus niaga Bazar Ramadan dikendalikan oleh KMA dengan pengawasan PDC sebagai agensi Kerajaan Negeri.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah (gambar kiri), dalam kenyataan beliau turut membidas mereka yang cuba mengambil kesempatan dari isu ini dengan meletakkan kesalahan keatas Kerajaan Negeri.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana isu yang sengaja dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi meraih sokongan masyarakat Melayu yang semakin hilang terhadap mereka tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar.

Dari satu sudut kita dapat melihat bagaimana isu yang sepatutnya ditanggung oleh pihak yang menyelia urus Bazar Ramaadan telah dimanipulasi dengan begitu sensasi oleh media milik BN.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat dengan mudah dipersalahkan walaupun pada hakikatnya kegagalan urus selia adalah pada pihak penganjur yang gagal untuk memberi komitmen yang penuh terhadap para peniaga yang telah memberi kepercayaan kepada mereka dengan membayar sejumlah besar wang cagaran bagi menjalankan perniagaan sempena bulan Ramadan yang mulia ini.


Merdeka Review

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails