Thursday, August 19, 2010

Isu banner: Keterangan Anwar kepada Polis (Video Inside)

Oleh Syed Jaymal Zahiid

PETALING JAYA: Polis telah mengambil keterangan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kain rentang (banner) yang kontroversial di Johor.

Pada kain rentang itu tertera gambar ahli majlis pimpinan tertinggi PKR Chua Jui Meng dan Sultan Johor. Tertulis Chua bakal menteri besar Johor.

Pemuda Umno membuat laporan polis menyatakan kain rentang itu berunsur hasutan.

Chua mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang kain rentang itu dan menuduh cubaan Umno untuk menimbulkan kebencian orang-orang Melayu terhadap beliau.

Tiga anggota polis, diketuai oleh pegawai penyiasat DSP Che Mahazan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di Johor, menemui Anwar di Ibu Pejabat PKR di Tropicana di sini.

Chua, yang telah disiasat oleh polis dan beberapa pemimpin parti turut hadir.

Anwar memberitahu sidang media selepas itu, bahawa kenyataannya di bawah Seksyen 112 sebagai saksi kerana imej beliau juga terdapat pada dada kain rentang itu.

"Saya memberitahu mereka saya tidak tahu langsung tentang kain rentang itu. Kami hanya diberitahu kewujudan kain rentang itu kemudian.

"Saya harap pihak polis segera menyiasat perkara ini, dengan penuh bertanggungjawab dan mencari mereka yang bertanggungjawab ke atas tindakan menghina seperti ini," tambahnya.

Beliau berkata perkara ini penting kerana ia melibatkan Sultan Johor dan menambah, motif di belakang kerja ini adalah jelas iaitubertujuan untuk menimbulkan kebencian dan menjatuhkan maruah parti.

Walaupun Chua menegaskan bahawa kain rentang ini adalah keraja Umno tetapi para pegawai PKR mendakwa perbuatan ini mungkin didalangi oleh pesaing-pesaing beliau dalam PKR.

Bekas naib presiden MCA ini, seorang yang berpengaruh di peringkat akar umbi, dianggap sebagai pemimpin yang mengancam kedudukan seseorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam parti.

Adalah difahami Chua, yang juga bekas menteri kesihatan, berminat untuk bertanding jawatan naib presiden pada pilihan raya parti dijadualkan pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun Anwar menolak kemungkinan kain rentang ini adalah kerja sabotaj orang dalam parti dan bukanlah menjadi amalan ahli-ahli parti untuk terlibat dalam permainan politik kotor ini.

"Ini bukan kerja orang yang menyokong kami. Sebagai contoh, memasang kain rentang di kawasan-kawasan Melayu bagi menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu dengan mempromosi Chua sebagai menteri besar Johor.

"Perkara ini tidak timbul, tidak pernah dibincang pun," tegas Anwar.

Usaha yang gagal

Chua berkata insiden ini bermula sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Ketua PKR Johor dan ini jelas merupakan percubaan untuk mencemari nama beliau.

"Sebagai seorang peguam, seperti kebanyakan masyarakat Cina yang tahu bahawa, seorang yang berbangsa Cina tidak akan dapat menjadi menteri besar Johor.

"Saya tidaklah sebodoh itu dan begitu juga para penyokong saya tidaklah sebodoh itu, untuk menyokong saya sebagai menteri besar Johor. Tidak masuk akal," kata Chua.

Beliau juga menggesa pihak polis segera menjalankan siasatan dan menahan (para) petualang itu.

"Percubaan mereka gagal. Tidak ramai yang percaya tentang apa yang tertera pada kain rentang itu, sama ada Melayu, Cina dan India. Ini sungguh mengaibkan," katanya.

Mengenai permohonan beliau untuk menghadap Sultan Johor, Chua berkata, "ini terpulang kepada Majlis Perajaan Negeri.

"Saya bukan dalam majlis itu. Kami telah memohon menghadap Sultan dan kami masih menunggu jawapannya. Oleh kerana kami tidak terlibat dengan isu kain rentang ini, kami memohon menghadap Sultan untuk menerangkan perkara ini dengan ikhlas," katanya.




Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails