Monday, August 9, 2010

Inkues Teoh: Gobind bidas Peguam Negara sembunyikan bukti

SHAH ALAM, 9 Ogos — Peguam Gobind Singh Deo menuduh Jabatan Peguam Negara menyembunyikan bukti yang dipercayai boleh menjejaskan perjalanan inkues Teoh Beng Hock yang bermula tahun lalu.

Terdahulu peguam keluarga Teoh menemui dengan koroner Azmil Munthapa Abas di kamarnya sebelum keluar dengan perasaan tidak memuaskan dan marah.

“Kami tidak mahu menerima keadaan ini tanpa memberi reaksi,” kata Gobind kepada pemberita.

Gobind membidas tindak laku Peguam Negara sambil mengingatkan bahawa kes itu menarik perhatian antarabangsa.

“Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata bukti itu wujud sejak Oktober lalu, tiga bulan selepas pembantu politik pemimpin DAP itu ditemui mati.

“Malah mereka ada bukti itu sebelum bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat Teoh tetapi mereka tidak memberitahu kami,” katanya.

Prosiding inkues Teoh Beng Hock ditangguh kepada 18 Ogos.

Gobind memberitahu koroner membuat keputusan itu selepas pihak yang membantu koroner itu dalam inkues memberitahu bukti baru akan dikemukakan.

Azmil membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri Gobind, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor, peguam yang dilantik kerajaan Tan Hock Chuan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Abas dan Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Pada tarikh itu juga, pakar forensik Thailand Dr Pornthip Rojanasunand akan memberi keterangan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails