Monday, August 30, 2010

Ibrahim Ali melanggar Fatwa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Dalam satu sidang medianya semalam (29 Ogos 2010) Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali telah berkata “Perlu ada undang-undang bagi menghalang insiden bukan Islam memasuki kawasan surau dan masjid,”

Kenyataan bodoh dari Ibrahim Ali ini yang mahukan undang-undang digubal bagi menghalang bukan Islam dari memasuki kawasan Surat atau Masjid ini adalah jelas bertentangan dengan keputusan yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010.

Dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia itu telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Hujah-hujah mereka adalah

1.Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2.Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3.Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

4.Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.

Jadi siapa Ibrahim Ali untuk mempertikaikan dan melanggar keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini?

**********************************************

Perkasa mahu undang-undang halang bukan Islam kunjungi masjid

Oleh Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Perkasa mahu undang-udang digubal bagi melarang bukan Islam daripada memasuki kawasan masjid dan surau meskipun tokoh agama berpandangan bahawa tidak salah bagi masyarakat bukan Muslim berbuat demikian.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa bukan Islam boleh mengunjungi rumah ibadat umat Islam.

Selain mereka, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga mempertahankan kunjungan bukan Islam ke masjid dan surau.

Malah pandangan Perkasa itu bertentangan dengan fatwa Mac lalu yang membenarkan pelancongan mengunjungi masjid.

“Perlu ada undang-undang bagi menghalang insiden bukan Islam memasuki kawasan surau dan masjid,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali pada sidang media di sini hari ini.

Meskipun beliau mengakui bahawa bukan Islam pernah memasuki masjid ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w, Ibrahim berkata, menjadi tanggungjawab Islam untuk mempertahankan kesucian rumah ibadat.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini turut menuduh Nik Aziz tidak menjalankan tanggungjawabnya sepenuhnya dengan mempertahankan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang mengunjungi Surau Al-Huda di Kajang, Ahad lalu.

“Sebagai Muslim, taqwa mengatakan bahawa kita mesti memelihara kesucian masjid. Nik Aziz seorang yang beriman tetapi kurang bertaqwa,” kata Ibrahim.

Ibrahim menggesa Majlis Agama Islam Selangor agar mengambil tindakan ke atas jawatankuasa pengurusan Surau Al-Huda yang membenarkan Teo menyampaikan ucapan.

“Tindakan ini telah mencemari kesucian Islam,” kata Ibrahim.

Ibrahim menuduh wakil rakyat penggal pertama menyampaikan ucapan dengan bermotifkan politik.

“Beliau bercakap tanpa tudung dan tidak menutup aurat. Ia keterlaluan, beliau mempunyai niat politik,” kata beliau lagi.

Ibrahim berkata walaupun beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan di kuil-kuil selaku wakil rakyat tetapi lazimnya akan menolak jemputan sedemikian bagi mengelakkan politik dan agama bercampur.

“Apa akan berlaku jika saya bercakap mengenai politik di kuil atau gereja? Orang Hindu tidak akan menyukai. Orang Kristian juga tidak akan menyukai,” kata beliau.


Berita dari : The Malaysian Insider
Keputusan Fatwa dari : e-Fatwa

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails