Tuesday, August 17, 2010

Chua diminta buktikan kontraktor Bumiputera amal konsep ‘Ali Baba’

GEORGE TOWN, 17 Ogos — Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mahu Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuktikan dakwaan kononnya kontraktor kelas F mengamalkan konsep ‘‘ali baba’’ bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Timbalan Presiden PKMM Datuk Mohamed Fadzill Hassan turut mencabar Chua supaya mengemukakan statistik mengenai kontraktor Bumiputera yang mengalibabakan projek mereka serta jumlah perkongsian tulen perniagaan antara usahawan Cina dan bumiputera.

“Kami mahu bukti yang jelas dan lengkap supaya tindakan boleh diambil terhadap kedua-dua pihak iaitu ‘‘ali dan baba’’,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini bagi mengulas kenyataan Chua yang mendakwa kontraktor Kelas F Bumiputera kebanyakannya terus mendapat peluang berniaga sekalipun kurang layak dan kumpulan itu juga sering mengalibabakan projek yang diterima kepada kontraktor lain.

Mohamed Fadzill, yang juga Pengerusi Biro Kontraktor Kelas F PKMM, berkata bahawa selama ini hanya ‘‘ali’’ yang dikenakan tindakan digantung lesen selepas didapati bersalah manakala ‘‘baba’’ pula masih bebas menjalankan urusniaga.

“Kami juga mahu Chua mengemukan senarai ‘‘baba’’ yang terlibat supaya turut dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Mohamed Fadzill turut mempertikaikan kenyataan Chua yang hanya mempersoalkan kredibiliti kontraktor Kelas F sedangkan banyak syarikat besar yang tersenarai dalam bursa Malaysia juga mengamalkan konsep ‘‘ali baba’’.

“Tidak perlu saya sebut nama syarikat terbabit tetapi mereka menggunakan kelebihan Bumiputera iaitu dengan memberi jawatan Pengerusi atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat untuk mendapatkan kontrak bernilai tinggi.

“Kenapa beliau tidak mempertikaikan perkara ini sedangkan ia lebih jelas berlaku berbanding kontraktor Kelas F,” katanya.

Mohamed Fadzill berkata beliau tidak menafikan wujud konsep ‘‘ali baba’’ dalam kalangan kontraktor Kelas F tetapi jumlah itu sangat kecil.

“Kira-kira 29,000 Kontraktor Kelas F berdaftar dengan persatuan dan saya percaya tidak lebih daripada lima peratus mengamalkan konsep ‘‘ali baba’’ secara sembunyi kerana bimbang dikenakan tindakan,” katanya.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails