Thursday, August 5, 2010

Apa itu 'Hak Melayu'?

By Syahredzan Johan

Apakah yang dimaksudkan dengan “hak-hak Melayu” dan dimana termaktubnya hak-hak ini? Adakah ianya adil dan sah sekiranya sesuatu kaum mengapropriasi “hak” yang melebihi daripada apa yang diperuntukan dalam Perlembagaan?

Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk memansuhkan diskaun bumiputera bagi hartanah mewah. Dan seperti biasa, hero-hero Melayu akan menggoncang pedang dan menghentakkan kaki kerana kononnya “hak-hak istimewa” Melayu telah sekali lagi tergugat.

Saya faham politik. Politik adalah seni membohong dan menipu, seni mengkritik dan menepis kritikan. Apa yang ahli politik luahkan adalah tidak lebih dari retorik dan janji-janji manis, yang menjadi topeng kepada agenda tersendiri ahli politik tersebut. Tetapi apa yang saya tidak boleh terima adalah politik perkauman, lebih-lebih lagi yang jauh terpesong daripada kedudukan sebenar. Maka apabila ahli politik atau hero-hero ini berdegar-degar bercerita tentang “hak-hak Melayu,” saya rasa terpanggil untuk menjawab.

Retorik “hak Melayu” ini semakin menjadi-jadi sejak akhir ini. Malahan, jika diteliti, ia mula mendapat sambutan sejak pilihanraya umum 2008. Sesetengah pihak, dalam usaha mereka untuk terus menjadi releven, telah memilih untuk menggunakan retorik ini sebagai bahan politik mereka. Selalunya ahli politik sedemikian adalah ahli politik picisan yang tidak mempunyai nilai-nilai yang mencukupi untuk mengangkat mereka daripada gred C atau B kepada gred A. Dengan memainkan isu seperti yang penuh emosi seperti ini, mereka akan lebih mudah mendapat sambutan.

Dikatakan bahawa hak orang Melayu kian terhakis. Tergugat. Cauvanis Cina sedang bersengkol dengan agen asing untuk menawan negara dan menjadikan Malaysia sebagai Singapura. Orang Melayu perlu bersatu untuk menghadapi ancaman ini. Orang Melayu perlu bersatu untuk “mempertahankan hak-hak Melayu.”

Tetapi apa itu “hak-hak Melayu”? Rakyat semakin cerdik. Meraka mahukan dalil jika berhujah tentang sesuatu perkara. Tidak cukup untuk berkata bahawa “Melayu ada hak.” Orang akan bertanya, di mana datangnya hak itu? Untuk memberi legitimasi kepada hujah mereka, pelopor retorik ini mencekup “dalil” mereka daripada Perlembagaan Persekutuan.

“Hak-hak Melayu seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan!” jerit mereka. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjadi peruntukan keramat kepada mereka. Ia menjadi selimut luas yang melingkupi segala apa yang mereka katakan sebagai “hak Melayu.”

Malangnya, rakyat masih belum celik Perlembagaan. Rakyat mungkin mahukan dalil, tetapi masih tidak menyemak samada dalil yang disajikan adalah benar. Apabila ahli-ahli politik ini menggunakan Perkara 153 sebagai dalil mereka, ramai yang percaya. Lagipun, sudah terbukti bahawa sekiranya sesuatu perkara itu diulang berkali-kali, orang ramai akan mempercayainya lama kelamaan. Propaganda 101.

Saya tidak ingin menyelami Perkara 153 di sini. Saya percaya ramai komentar dan penulis di luar sana yang telahpun menukil rencana tentang peruntukan ini. Cukuplah di sini bahawa Perkara 153 memperuntukan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dalam perizaban quota dalam beberapa perkara seperti perkhidmatan awam, lesen dan biasiswa. Perkara 153 ini tidak boleh dimansuhkan atau dipinda dengan sewenang-wenangnya oleh Parlimen dan perlu persetujuan daripada Majlis Raja-Raja. Maka momok bahawa Perkara 153 ini adalah dalam bahaya jika Melayu tidak bersatu adalah tidak lebih daripada bohong yang dicanang oleh sesetengah pihak.

Lebih penting lagi, kita harus membezakan di antara Dasar Ekonomi Baru (DEB, atau NEP dalam bahasa Inggeris) dan Perkara 153. Ramai orang telah keliru atau sengaja mengelirukan antara keduanya, walhal satu hanyalah dasar nasional dan satu lagi adalah peruntukan Perlembagaan. Menukar, memansuhkan atau meminda DEB tidak bermakna mencabar Perlembagaan.

Berbalik kepada pemansuhan diskuan kepada bumiputera dalam pembelian rumah. Banyak pihak berhiruk dan berpikuk yang kononnya ini adalah salah satu daripada “hak istimewa orang Melayu” yang “tidak harus dicabar.” Tetapi adalah terang lagi bersuluh bahawa diskaun ini adalah dasar yang diperkenalkan oleh DEB dan tidak ada kena-mengena dengan Perkara 153. Tidak langsung terlakar dalam Perlembagaan bahawa orang Melayu berhak mendapat diskaun dalam membeli rumah.

Samalah juga pemberian tender kepada kontraktor Melayu bukanlah sesuatu peruntukan Perlembagaan yang menjadi hak tetapi sesuatu dasar di bawah semangat DEB. Dan walaupun Perkara 153 mempunyai peruntukan tentang perizaban kuota dalam biasiswa dan pendidikan, ia tidak pula menyatakan bahawa mana-mana universiti atau kolej hanya boleh membawa masuk pelajar bumiputera. Hujah sesetengah pihak bahawa universiti tertentu adalah “benteng terakhir” kaum bumiputera tidak boleh dipertahankan dengan merujuk kepada Perlembagaan.

Inilah masalahnya. “Hak Melayu” telah dipesongkan untuk meliputi pelbagai perkara yang langsung tidak berlandaskan Perlembagaan. Ada ahli politik, dalam membantah pemilihan hakim-hakim melalui suruhanjaya, berhujah bahawa ini akan membolehkan seorang bukan Melayu untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Ada pula ahli politik yang berkata bahawa pemindahan kuil Hindu kepada kawasan majoriti Melayu adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Bahkan, ada juga mengatakan bahawa kritikan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah serangan ke atas “institusi-institusi Melayu.”

Sejak bila pula perlantikan Ketua Hakim Negara, penentuan tempat-tempat ibadat dan PDRM menjadi sebahagian daripada “hak-hak Melayu” yang terkandung di dalam Perlembagaan? Dan jika Perlembagaan tidak mempertukannya, dari mana pula datangnya apa yang disebut sebagai “hak”?

Secara dasarnya, saya tidak mempunyai masalah dengan usaha memartabatkan orang Melayu. Tidak salah sekiranya bantuan diberikan kepada orang Melayu yang memerlukannya. Sekiranya tidak bersetuju dengan pemansuhan diskaun bagi rumah mewah, berikan alasan mengapa tidak bersetuju secara rasional dan telus. Jangan bersandarkan retorik “hak Melayu” yang tidak mempunyai asas. Jangan membakar sentimen perkauman demi agenda politik yang sempit.

Perlembagaan kita telah mencapai keseimbangan di antara kepentingan pelbagai kaum di dalam negara ini. Oleh itu, tidak adil dan tidak sah sekiranya sesuatu kaum mengapropriasi “hak” yang melebihi daripada apa yang diperuntukan dalam Perlembagaan.

Sudah tiba masanya kita, sebagai rakyat biasa, mencelikkan mata kita kepada Perlembagaan. Kita harus memperkukuhkan diri kita dengan konsep keperlembagaan, tentang hak dan tanggungjawab. Kita tidak boleh biarkan ahli politik dan pihak-pihak berkepentingan untuk memperalatkan kita, melaga-lagakan kita dan memperbodohkan kita dengan omong-omong dusta. Hanya apabila kita mempunyai pemahaman barulah kita boleh bezakan yang hak dan yang batil.


loyarburuk

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails