Saturday, August 21, 2010

52 Tahun Memerintah, 82 Peratus Melayu Luar Bandar Masih Miskin

SHAH ALAM 21 Ogos - Penyelewengan Dasar Ekonomi Baru oleh Umno-Barisan Nasional selama 40 tahun yang melibatkan ratusan bilion ringgit telah gagal meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Melayu sehingga 82 peratus rakyat di luar bandar dan 62 peratus di bandar yang miskin masih terdiri daripada kaum Melayu.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata kenyataan Pengerusi SP Setia Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin berhubung DEB tidak memberi gambaran realiti yang sebenar kerana dasar itu hanya dibolot segelintir golongan kaya yang tamak.

Sebelum ini Kee Sin menyediakan statistik bagi menunjukkan ahli perniagaan Cina maju dan berkembang di bawah DEB dengan menguasai 73 peratus kekayaan.

Beliau sendiri tersenarai antara 40 rakyat Malaysia yang terkaya dan menduduki tangga ke lapan daripada sepuluh orang terkaya di Malaysia.

"Semua orang tahu siapa mereka. Mereka bukan sahaja antara yang terkaya di Malaysia, tetapi juga di dunia. Semua orang tahu bagaimana mereka mencipta kekayaan sepanjang tempoh 40 tahun yang lalu.

"Keluhan selama ini bukan berkisar sekitar soal bahawa Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban dan bukan Bumiputera lain turut bersama mencipta peluang kekayaan di bawah Dasar Ekonomi Baru. Biarpun di negara yang diperintah oleh rejim yang paling menekan rakyat, memang akan wujud golongan yang berjaya," jelas beliau.

Menurut Willaim, penyalahgunaan DEB telah mengakibatkan rakyat dinafikan hak sebagai warga yang bermaruah sedangkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama berhak sebagai warganegara dan mempunyai kesaksamaan dalam meningkatkan taraf hidup untuk diri dan keluarga.

"Rakyat Malaysia tertakluk untuk menikmati kehidupan dengan penuh bermaruah. Tidak perlu untuk bergelut seperti Raja Tikus dalam novel John Clavell yang memaksa kita untuk melakukan rasuah dan terlibat dalam pasaran gelap semata-mata untuk hidup dalam kem tahanan perang Jepun," ujar William.

Menurutnya, watak Raja Tikus dalam novel itu telah menjadi satu kuasa kuat di dalam penjara dengan menjadi orang yang paling berjaya menerusi amalan rasuah dan pasaran gelap.

"Tentera Jepun hanya memberi tahanan sebuah tempat tinggal yang kecil dan makanan yang terhad. Semua pegawai hanya memakai cebisan pakaian buruk dan diberi layanan yang tidak berperikemanusiaaan. Bahkan pegawai kanan terpaksa mendekati Raja Tikus untuk menjualbarang-barang bernilai demi mendapatkan makanan.

"Raja Tikus bergelut dengan keadaan penjara yang cukup zalim. Penyalahgunaan dan kegagalan DEB sepertimana yang didakwa oleh Datuk Seri Nazir Razak telah mencipta satu keadaan yang serupa dalam kisah Raja Tikus," ujar beliau.

Menurut Wiliam lagi, pelaksanaan DEB telah memberi kuasa yang besar kepada pegawai kerajaan untuk meluluskan lesen, permit dan segala bentuk intervensi dalam akitiviti ekonomi.

"Dengan memiliki kuasa sebesar itu, peluang itu digunakan oleh pegawai untuk mendapatkan bayaran daripada pemilik perniagaan besar sehinggalah ke peniaga jalanan untuk mendapatkan kelulusan permit dan lesen. Penjaja dan peniaga jalanan membuat bayaran bawah kaunter untuk mendapatkan lesen.

"Peniaga besar terpaksa membayar sejumlah wang besar untuk berniaga. Inilah yang menimbulkan persepsi rasuah dan sebagainya. Bagaimana anda dapat mencari nafkah di negara yang berada pada tangga 56 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International?," soal beliau.

Menurut William, rakyat umumnya mengetahui seruan Kee Sin yang meminta peniaga Cina bekerjasama dengan rakan kongsi Melayu di bawah semangat DEB kerana kebanyakan kontrak yang diberikan kepada Melayu telah disubkontrakkan kepada kontraktor Cina.

"Kontrak kelas F yang diberikan khasnya kepada Bumiputera dianugerahkan mengikut citarasa pegawai kerajaan ataupun Yang DiPertua Majlis Perbandaran dan bukan melalui cara bidaan terbuka. Sistem Ali Baba ini diwujudkan atas nama suci memberikan kontrak, lesen dan permit kepada peniaga Melayu untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Selagi majoriti Melayu masih berada dalam keadaan miskin, Perkasa dan ekstremis akan menuntut bahawa DEB masih perlu diteruskan. DEB kemudian akan digelar Never Ending Policy, ataupun dasar yang tidak ada penamatannya," ujar beliau.


Suara Keadilan

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails