Tuesday, August 3, 2010

1 Malaysia Gagal - Muhyiddin

Wah.. mentang-mentanglah Najib sedang bercuti.. sedap saja Muhyiddin kutuk Slogan 1Malaysia Najib tu..

Muhyiddin setuju 1 Malaysia gagal, perlu lebih masa
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

PUTRAJAYA, 3 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa slogan 1 Malaysia telah gagal mencapai matlamat untuk menyatukan rakyat negara ini.

“Saya bersetuju dengan pandangan beliau (Dr Mahathir). Kami tidak mengatakan bahawa dalam tempoh satu tahun setiap orang akan faham slogan 1 Malaysia yang dilancarkan oleh perdana menteri, tetapi saya yakin bahawa mereka mungkin faham.

“Saya percaya bahawa ramai yang belum memahami dengan mendalam makna 1 Malaysia,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa mengenai pembangunan belia di Perdana Putra di sini.

Bagaimanapun Muhyiddin mempertahankan slogan 1 Malaysia sambil menjelaskan bahawa orang ramai memerlukan lebih masa untuk memahaminya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno menambah, sesetengah kumpulan dengan sengaja mensabotaj pelaksanaan konsep 1 Malaysia.

“Bagaimanapun ada kecenderungan di mana pemahaman dipengaruhi oleh kumpulan-kumpulan tertentu, walaupun dijelaskan oleh perdana menteri bahawa 1 Malaysia adalah berdasarkan perlembagaan negara kita.

“Apa jua tafsiran, ia tidak harus lari daripada semangat perlembagaan seperti hak Bumiputera, Bahasa Malaysia, kebudayaan, agama dan raja.

Kata Muhyiddin, memandangkan konsep 1 Malaysia adalah sesuatu yang dinamik, bukannya statik, sudah tentu ada orang yang akan membuat tafsiran mengikut kepentingan mereka.

“Jadi, langkah harus diambil oleh kerajaan untuk memberi penjelasan dan mengadakan program bagi membenarkan orang ramai memahami apa itu 1 Malaysia,” katanya lagi.

Semalam, Dr Mahathir berkata, penjelasan terperinci dan menyeluruh berhubung 1 Malaysia, yang diperkenalkan pentadbiran Najib lebih setahun lalu, wajar diberi bagi mengelak pandangan berbeza di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Saya bercakap dengan orang Cina, orang Melayu, masing-masing ada pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan, saya berpendapat satu penjelasan perlu dibuat,” kata bekas perdana menteri.

“Mereka (rakyat) tidak tahu yang mana satu, yang mana untuk orang Cina dan yang mana untuk orang Melayu. Kalau suruh saya buat penjelasan, mana saya tahu bukan saya yang buat slogan itu,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, hasil kajian dikeluarkan firma kajian pendapat umum, Merdeka Center juga menunjukkan konsep 1 Malaysia tidak popular di kalangan bukan Bumiputera.

Menurut penemuan itu, kalangan bukan Bumiputera menganggap ia hanya satu usaha Barisan Nasional (BN) mahu memikat sokongan bukan Melayu dan Bumiputera.

Hasil kajian itu berkata hanya 39 peratus masyarakat bukan Bumiputera menerima konsep 1 Malaysia walaupun sudah lebih setahun diperkenalkan.

Konsep 1 Malaysia diperkenalkan oleh Najib sebagai gagasan pentadbirannya 15 bulan yang lalu. Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam awal April 2009.

Pada Mac lalu, kajian Jabatan Penerangan mendapati rakyat keseluruhan tahu kewujudan konsep 1 Malaysia tetapi masih belum mencapai kefahaman penuh tentang konsepnya.

Kajian yang dibuat jabatan itu mendapati 80 peratus daripada rakyat negara ini mengetahui berkenaan 1 Malaysia, namun penjelasan mereka tidak menggambarkan pemahaman penuh berkenaan intipati gagasan itu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails