Tuesday, July 20, 2010

UMNO Selangor nak tunjuk handal kepada Najib?

Ahli-ahli Umno di peringkat Umno Selangor Umno berpecah kepada aliran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd. Khir Toyo,Kedua-dua pemimpin ini bergerak bersendirian untuk menggerakkan usaha memperlekeh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat bagi menarik perhatian Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.


Umno Selangor dilanda ‘perang tonjol’ pengaruh?

Oleh Neville Spykerman

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Selepas tewas teruk dalam pilihan raya umum 2008 tanpa diduga, puak-puak dalam Umno Selangor kini bekerja keras untuk menonjolkan pengaruh dan kekuatan masing-masing di kaca mata kepimpinan pusat.

Ahli-ahli Umno di peringkat Umno Selangor Umno berpecah kepada aliran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd. Khir Toyo yang kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Kedua-dua pemimpin ini bergerak bersendirian untuk menggerakkan usaha memperlekeh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat bagi menarik perhatian Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Ia terbukti dalam isu pasir yang menjadi perhatian sejak awal minggu lalu.

Khir yang sebelum ini dipersalahkan atas kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu dan Noh pula kini anggota Kabinet persekutuan, dikatakan cuba memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai bakal menteri besar jika BN kembali berkuasa di Selangor.

“Kelihatan kedua-dua bersaing satu sama lain untuk mendapatkan perhatian berbanding bekerjasama demi memperkukuh kekuatan Umno Selangor,” kata seorang wakil rakyat peringkat negeri yang enggan namanya didedahkan.

Pemerhati pula berpendapat situasi yang pernah disaksikan di Kelantan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1990 mula wujud di Selangor sekarang.

Kedua-dua pemimpin itu mencabar pentadbiran kerajaan negeri dengan mendakwa wujudnya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir di Selangor.

Khir dan Noh mendedahkan perkara itu dengan mengadakan sidang media berasingan baru-baru ini.

Bekas menteri besar membawa pemberita ke Kampung Bukit Changgang di Dengkil pada 11 Julai untuk mendedahkan perlombongan pasir haram, yang menurutnya menjejaskan Paya Indah Wetlands.

Bagaimanapun anak syarikat pasir kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd menafikan dakwaan itu.

Dua hari kemudian Noh pula menyewa sebuah helikopter untuk melihat sendiri kawasan perlombongan pasir di kawasan Kuala Langat dan Batang Berjuntai dari udara.

Kedua-dua pemimpin itu menafikan wujudnya keretakan dalam hubungan mereka.

Ketua Penerangan Umno Selangor Umno, Abdul Shukor Idrus juga menafikan wujudnya masalah di antara Noh dan Khir.

“Kedua-dua mereka masih kawan dan tiada sebarang masalah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang ini kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Noh dan Khir bertungkus lumus untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan di arena politik domestik, khususnya di kaca mata Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Noh, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang, juga memperoleh sokongan yang dinikmati Khir di kalangan wakil rakyat Umno di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Barisan 19 wakil rakyat itu dikatakan berpecah dua masing-masing kepada Khir dan Noh.

Sementara waki rakyat lama memihak kepada Khir atas alasan menikmati sokongan daripada pentadbirannya sebelum ini, yang baki menunggu pengesahan Najib dalam menentukan bakal kepimpinan negeri Umno-BN.

Mereka melihat Noh akan mengetuai negeri jika BN kembali bertapak di Selangor.

Di sebalik persaingan itu, Umno Selangor juga berhadapan dengan krisis baru ekoran ada usaha meminta bekas menteri Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dari 1986 hingga 1997, agar mengosongkan jawatan ketua Umno Kelana Jaya.

Bekas naib presiden Umno ini yang mesra dikenali sebagai “Mat Tyson” masih memiliki pengaruhnya dan ia telah diperlihatkan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor April lalu.

Bagaimanapun Abdul Shukor mengetepikan tekanan dan teguran beberapa pihak mengenai kedudukan Muhammad dengan berkata, beliau kini dalam peringkat “separa persaraan”, cuma belum lagi membuat pengumuman rasmi.

“Beliau telah pun menurunkan tanggungjawab peringkat bahagian itu kepada timbalannya Datuk Yahya Bujang,” katanya.

Turut mendapat perhatian ramai ialah kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri empat penggal, Datuk Mohamad Satim Diman.

Muncul spekulasi bulan lalu yang mengatakan wakil rakyat Sri Serdang itu akan melepaskan kesemua jawatan politik.

Ketidakhadiran Setiausaha Perhubungan Selangor juga menimbulkan spekulasi dengan sesetengah blog mendakwa beliau sudah tidak berupaya untuk memberi khidmat sebagai pemimpin Umno dan wakil rakyat.

Bagaimanapun minggu lalu, Satim menafikan yang beliau akan melepaskan kesemua jawatannya.
Pun begitu, masih wujud rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai mengenai peranan ahli politik veteran ini, yang mempertahankan kerusinya dengan majoriti 45 undi pada 8 Mac 2008.

“Sebagai ketua BN Puchong beliau tidak pernah memanggil mesyuarat sejak 2008 dan beliau tidak kelihatan di kawasan,” kata Ketua MIC Puchong Awtar Singh.

Awtar, yang satu ketika dulu pembantu khas Satim menambah, ahli politik itu telah gagal dalam tanggungjawab sebagai wakil rakyat pembangkang.

“Beliau telah gagal dalam menyuarakan kelemahan kerajaan Pakatan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Umno Puchong Datuk Radin Mokthar sebelum ini telah menafikan wujudnya masalah dengan kepimpinan Satim, sebaliknya mengendalikan urusan parti seperti biasa.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails