Friday, July 2, 2010

Tragedi Perak bukti LA dari Peguam Negara tidak adil — V. Sivakumar

July 02, 20102 JULAI — Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi yang bercorak federalisme yang berat sebelah. Ini merupakan satu lagi kecacatan yang amat ketara dalam Perlembagaan Pesekutuan. Autonomi yang luas diberikan kepada kerajaan persekutuan manakala kerajaan negeri pula dicekik dalam ruangan yang sempit. Ketidak seimbangan kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri ini menjadikan politik Malaysia kucar-kacir dan tidak tentu hala.

Kerajaan pusat menggunakan segala kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain untuk terus menindas kerajaan negeri. Kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat menghadapi ancaman yang hebat dan bertubi-tubi. Kerajaan Pusat menggunakan kekuasaan yang ada padanya untuk membuli kerajaan negeri yang serba kekurangan dan tidak dilindungi oleh undang-undang sepenuhnya.

Kerajaan Pusat menempatkan tiga orang ex-officio di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mereka ini terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Ketiga-tiga pegawai utama ini adalah lantikan persekutuan. Walaupun gaji mereka ini dibayar oleh kerajaan negeri, tetapi kesetian mereka adalah tertumpu kepada kerajaan pusat yang mengawal sepenuhnya jawatan dan insentif yang lain. Ketiga-tiga pegawai ini berkhidmat sebagai tali barut kerajaan pusat di setiap negeri.

Ex-officio ini akan menyalurkan semua maklumat-maklumat kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat. Dalam kata lain, kerajaan negeri tidak dapat berfungsi secara bebas. Segala tindak-tanduk dan rancangan kerajaan negeri boleh disalurkan oleh ex-officio in kepada kerajaan pusat yang cuba merisik maklumat-maklumat ini untuk kepentingan politiknya.

Ini bermakna, semua rahsia-rahsia kerajaan negeri akan diketahui oleh kerajaan pusat. Maklumat-maklumat atau keputusan-keputusan yang dibuat dalam Maljis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan sampai kepada pengetahuan kerajaan pusat dalam sekelip mata. Kerajaan negeri pula terpaksa beroperasi dalam keadaan yang cukup bahaya dan ketakutan kerana ada musuh dalam selimut.

Federalisme seperti ini tidak menjamin demokrasi yang tulen. Pengubahssuaian kepada sistem federalisme kita harus dikaji semula dan diperbaiki. Kerajaan negeri seharusnya diberi autonomi yang cukup untuk mentadbir negeri dengan baik dan tidak dikawal dan diancam oleh kerajaan pusat.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Profesor Aziz Bari, Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa yang menyarankan supaya kerajaan Pakatan Rakyat menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri dengan memilih orang-orang yang taat kepada kerajaan negeri dan bukannya tali barut kerajaan pusat. Cadangan ini mempunyai nas kerana ketiga-tiga pegawai kerajaan tertinggi ini boleh menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk melumpuhkan sesebuah kerajaan negeri.

Sebagai contoh, penglibatan dan komitmen yang diberikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Penasihat Undang-undang Negeri Perak kepada Barisan Nasional Perak dan kerajaan pusat merupakan punca kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak. Kerajaan Pusat menggunakan ex-officio ini untuk merancang satu konspirasi politik menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak. Peranan ex-officio ini digunakan sepenuhnya oleh kerajaan pusat untuk mendapatkan maklumat dalaman dan melemahkan kestabilan kerajaan negeri. Penglibatan ex-officio dalam menggulingkan kerajaan Perak yang diberi mandat oleh rakyat tidak dapat dinafikan.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat seharusnya menggunakan kemelut negeri Perak sebagai satu pedoman dan mengambil segala langkah berjaga-jaga dan mengantikan orang-orang yang bekerja sebagai tali barut kerajaan pusat. Kerajaan–kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak boleh khilaf sekali lagi dan perlu memberi perhatian yang serius dalam hal ini. Adalah mudah untuk mentadbir negeri dan melaksanakan polisi-polisi Pakatan Rakyat jika ex-officio yang dilantik ini adalah terdiri daripada pihak yang neutral. Mereka ini seharusnya memahami konsep neutraliti dan berpegang kepada prinsip tersebut dan tidak mengikut telunjuk dan meringkuk kepada arahan kerajaan pusat.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails