Monday, July 5, 2010

TG Nik Aziz : Jangan terpengaruh dengan laporan Benama bertajuk “Nik Aziz Akui Wujud Perpecahan Parti"

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan supaya semua pihak tidak terpengaruh dengan laporan Benama bertajuk “Nik Aziz Akui Wujud Perpecahan Parti Untuk Berebut Jawatan Pada Muktamar PAS Tahun Depan” yang disiarkan kelmarin.

"Jangan mudah terpengaruh dengan semua laporan berkenaan, terutama Bernama dan akhbar yang nampaknya ada agenda tersembunyi di sebalik apa yang mereka laporkan.

"Hanya Allah jua yang maha mengetahui. Kepada pihak akhbar cermatlah dan jauhilah daripada memfitnah," tegasnya dalam satu kenyataan.

Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan turut menegaskan bahawa laporan agensi berita itu adalah "tidak benar dan di luar konteks" daripada apa yang dimaksudkannya.

"Saya dapati keseluruhan laporan itu merupakan tanggapan pihak Bernama sendiri dan bukannya dari maksud sebenar kenyataan saya," katanya.

Menurutnya, menjadi lebih malang apabila berita itu dijadikan rujukan oleh beberapa media online dan media cetak seperti Malaysian Insider, Berita Minggu, Sinar Harian dan Sunday Star.

"Namun, akhbar online Malaysiakini turut menyiar kandungan laporan Bernama, tetapi diharmonikan dengan tajuknya sendiri, iaitu “Nik Aziz cadang tiada pemilihan dalam muktamar.”

"Itupun masih tidak tepat, kerana pemilihan dibenarkan di dalam perlembagaan PAS. Sedangkan, pada sidang media tersebut, saya telah merujuk kepada asas perlembagaan PAS yang perlu dipatuhi demi mengelak apa-apa perbalahan, mahupun perpecahan," kata Nik Aziz.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih atas laporan media yang berimbang seperti New Sunday Times dan Mingguan Malaysia yang tidak memetik laporan agensi berita itu.

"Sebaliknya ia telah menyiarkan berita yang ditulis wartawannya sendiri. Begitu pula, Sinar Harian didapati memetik laporan Bernama, tetapi turut menyiarkan di ruang Kelantan kenyataan yang dianggap tepat mengenai cadangan saya agar berlaku syura bagi pemilihan dalam PAS.

"Sementara Mingguan Malaysia tidak memetik laporan Bernama, sebaliknya menyiarkan kenyataan yang agak tepat dengan maksud sebenar saya," katanya.

Sehubungan itu dalam kenyataan itu juga, beliau turut menyertakan jawapan penuh beliau selepas ditanya oleh wartawan berhubung kemungkinan berlaku pertandingan dalam pemilihan parti tahun depan.

“Kalau boleh tidak perlu bertanding, kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan. Ini luahan hati orang tua, tak mahu tengok perpecahan berlaku.

“Pengalaman saya sendiri yang pernah bertanding dalam dewan ulama' satu ketika dulu, amat tidak comel. Baik kita cari cara yang lebih comel elak daripada perpecahan.

"Moleknya, kita buat keputusan secara syura dan lantik ketua kita beramai-ramai. Ini cadangan saya. Tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti.

Nik Aziz berkata penjelaskan ini dibuat bagi mengelakkan salah faham semua pihak, khususnya rakan-rakan pimpinan dalam PAS.

Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails