Tuesday, July 6, 2010

Siasat Kenyataan Mukhriz, Usah Sibuk Pasal Raja Petra

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 6 Julai - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengesa Polis DiRaja Malaysia menyiasat kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa 40 peratus daripada penulisan yang dihasilkan oleh Raja Petra Kamaruddin adalah berdasarkan fakta.

Beliau berkata jika hanya 40 peratus sahaja apa yang ditulis oleh penulis blog terkenal itu adalah fakta maka pihak polis berwajib untuk membuat penyiasatan.

"Mukhriz mengatakan dalam kesemua kenyataan yang diberikan oleh Raja Petra hanya 40 peratus fakta sahaja tepat sedangkan yang lain tidak betul.

"Jadi di sini saya mahu arahkan PDRM perlu beri tumpuan menyiasat kenyataan tersebut bukannya membesarkan kenyataan pertemuan pemimpin Pakatan Rakyat mahupun isu tajaan yang belum pasti kebenarannya.

"Angka 40 peratus itu bukannya dikeluarkan oleh orang biasa tetapi dari seorang timbalan menteri dan mempunyai pertalian dengan bekas Perdana Menteri Malaysia. Apa yang berlaku kita lihat PDRM tidak meletakkan dakwaan timbalan menteri terbabit sebagai satu yang serius.

"Kita kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan yang hanya mencari salah seseorang sedangkan kenyataan mahupun dakwaan yang jelas mengatakan ada kebenaran tidak pula di siasat.

"Inilah kelemahan PDRM yang sebenarnya, kenapa mereka tidak bertindak menyiasat fakta yang betul itu, tetapi mereka sibuk dengan dakwaan menaja Raja Petra. Tindakan ini hanyalah hendak menutup kelemahan dalam PDRM yang tidak mahu siasat dakwaan Raja Petra, adakah ini sebagai satu tindakan untuk menutup individu tertentu," tegas beliau pada sidang media di parlimen petang tadi.

Selain itu juga beliau memberitahu terdapat kekeliruan dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melakukan siasatan ke atas penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang dilihat tidak ada kesungguhan.

"Saya hairan satu keputusan mengejutkan yang dilakukan oleh SPRM apabila badan itu membatalkan rombongan mereka ke London bagi mendapat kenyataan dari Bala sedangkan sebelum itu sudah ada keputusan. Tindakan itu di ambil apabila Peguam Negara memberitahu tidak ada kepentingan ke sana untuk berjumpa dengan Bala dan hanya cukup menghantar soalan sahaja.

"Tindakan ini seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh mereka, saya melihat Bala ini umpama kunci yang boleh membongkar segala rahsia dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno, ini yang menjadi tanda tanya.

"Isu bila hanya cukup menghantar soalan yang ingin ditanya oleh SPRM kepada peguam kenapa sebelum ini dalam kes Teoh Beng Hock tidak menggunakan konsep yang sama, saya rasa kalau hanya mengemukakan soalan melalui surat tentu tidak akan timbul soal kematian.

"Banyak perkara yang dilakukan oleh Umno-Barisan Nasional dalam kedua-dua kes ini mempunyai perkara tersembunyi dan invividu mana yang mereka mahu lindungi? Itu persoalannya.

"PDRM dan juga SPRM perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka bukan hanya mengikut skrip pihak atasan dari kalangan pemimpin Umno," tegas Mahfuz lagi.

Sebelum ini mengenai isu siasatan Bala di London, SPRM yang telah merancang rombongan ke sana bagi mendapat kenyataan dari penyiasat persendirian tersebut tetapi rombongan itu dibatalkan setelah mendapat nasihat dari Peguam Negara.

Sehubungan dengan itu SPRM telah menghantar soalan yang ingin ditanya kepada Bala melalui khidmat kurier ke London. Soalan yang perlu dijawab oleh Bala itu kini berada tangan peguamnya, Americk Sidhu.

SPRM sedang menyiasat dakwaan beberapa tokoh memaksanya menarik balik pengakuan bersumpah yang dibuatnya berhubung pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, antara mereka yang didakwa itu termasuk adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak dan juga ahli perniagaan Deepak Jaikishan.


Suara Keadilan

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails