Sunday, July 4, 2010

Samy Vellu perlu undur - Nazri Aziz

TELUK INTAN - Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu perlu berundur daripada jawatannya jika mahu melihat Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang memandang masyarakat India masih tidak memberikan sokongan kepada MIC.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, setiap parti komponen BN perlu memastikan parti mereka kukuh dan disukai oleh rakyat bagi membolehkan mereka menang di dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya, sekiranya rakyat tidak menyukai sesebuah parti komponen di dalam BN dan tetap meletakkan calon yang lemah, bermakna BN memberikan kerusi secara percuma kepada pembangkang.

“Saya tengok parti yang lain dah kemas dah, cuma tinggal MIC sahaja dan kita berhak untuk menegur parti lain kerana apabila pilihan raya kita akan bersama.

“Saya harap dia (Samy Vellu) sedar untuk menubuhkan kerajaan dia perlu kerja kuat.

"Kalau masyarakat India sendiri tidak memberikan sokongan kepada MIC bagaimana kita nak menang pilihan raya,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Intan di Dewan Bandaran Teluk Intan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan; Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Idris Hashim dan pemimpin UMNO dan parti komponen yang lain.

Menurutnya, apabila pilihan raya, lambang dacing akan digunakan oleh semua parti komponen BN tetapi rakyat masih mengenali calon berkenaan dari parti yang mana.

Sementara itu, mengenai UMNO, beliau berkata, parti itu masih belum pulih dan pemimpinnya memerlukan transformasi politik.

Menurutnya, pemimpin yang mempunyai kepentingan akan menyebabkan UMNO berpecah kerana mereka akan menghasut akar umbi semata-mata untuk mendapatkan jawatan dan sebagainya.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails