Friday, July 30, 2010

Ronnie mahu saman Khir Toyo

Oleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu Tian Khiew dan DAP Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mengaitkan isu kecurian pasir dengan dirinya dan parti itu.

Khir Toyo melalui kenyataan dalam laman portal berita Malaysiakini yang disiarkan semalam mendakwa, gangster yang melindungi kegiatan curi pasir di Selangor mempunyai kaitan dan pernah berjumpa dengan sekretariat kerajaan Selangor.

"Gangster itu juga mempunyai kaitan rapat dengan DAP Selangor," dakwa Khir semalam.

Berikutan itu, Ronnie dan DAP Selangor memberikan tempoh 48 jam (sehingga pukul 12 tengahari Ahad ini) kepada Khir untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya itu.

"Dakwaan Khir ini palsu dan sangat melampau. Kami berikan tempoh 24 jam pertama untuk Khir kemukakan bukti termasuk dokumen rasmi mengenai kaitan DAP dan Ronnie dengan gangster pencuri pasir.

"24 jam seterusnya pula tempoh untuk Khir mohon maaf secara terbuka jika apa yang dikatakannya itu tidak benar.

"Selepas tempoh tamat dan tiada sebarang respon, kami akan buat laporan polis. Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang kerana kenyataan beliau sangat spesifik ditujukan kepada kami," katanya kepada pemberita di Bangunan SUK hari ini.

Turut hadir Setiausaha DAP Selangor yang juga ADUN Kampung Tunku Lau Weng San, ADUN Teluk Datuk Philip Tan Choon Swee, dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Pandamaran berkata walaupun namanya tidak dinyatakan, namun sekretariat kerajaan negeri yang didakwa Khir itu berkait rapat dengan dirinya.

Ini kerana menurut beliau, pejabatnya pernah dikunjungi polis daripada Bukit Aman pada tahun lalu bagi melakukan siasatan termasuk mengambil buku log dan menyoal siasat kakitangan pejabatnya.

"Selepas kunjungan itu, pihak polis tidak membuat apa-apa siasatan lanjut pun. Mereka sudah berhenti siasat. Jadi kenapa Khir Toyo masih lagi mahu ungkit perkara ini," katanya.

Ronnie, atas kapasiti sebagai Exco Selangor berkata, cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang itu juga telah dirujuk dan diberikan ‘lampu hijau’ oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ronnie turut membidas dakwaan Khir yang menyatakan kurangya hasil diperoleh kerajaan negeri hasil daripada perlombongan pasir disebabkan banyak lombong pasir yang ditutup ketika itu adalah bohong.

Sebaliknya pula berlaku apabila satu pasukan khas yang ditubuhkan bagi membanteras kegiatan curi pasir iaitu Penguatkuasa SUK atau dikenali sebagai ‘the blue gang’ ditubuhkan semasa pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Muhammad Haji Muhammad Taib, jumlah keanggotaan pasukan itu adalah seramai 80 orang.

"Namun selepas Khor Toyo ambil alih, jumah anggota itu kini hanya tinggal 12 orang sahaja. Bagaimana ini boleh berlaku? Adakah beliau mengurangkan kuasa ‘the blue gang’ sebab tidak mahu muslihatnya terbongkar? Saya cabar beliau jelaskan perkara ini.

"Saya juga cabar Khir berikan nama gengster yang terlibat dalam kegiatan curi pasir. Jika beliau dedahkan, itu sudah jadi tugas pihak berkuasa untuk ambil tindakan selanjutnya.

Kalau beliau tahu siapa dalangnya cakap sahaja dan tidak perlu sembunyikan. Kalau tak tahu sila tutup mulut," katanya.

Sedia jadi saksi kes PKFZ

Sementara itu, Ronnie turut menyatakan kesediaanya untuk menjadi saksi mahkamah dalam kes skandal PKFZ yang membabitkan bekas Menteri Pengangkutan dan juga bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

"Oleh kerana saya merupakan individu pertama mewakili DAP yang membuat laporan polis mengenai penyelewengan PKFZ pada tahun 2004, saya bersedia jika dipanggil sebagai saksi dalam kes ini. Setakat ini saya tidak dipanggil," katanya.

Katanya, sehingga sekarang sebanyak empat laporan polis dan dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR, kini SPRM) pernah dikemukakannya terhadap PKFZ, Ling Liong Sik dan Chan Kong Choy, serta beberapa pemimpin Umno namun tiada tindakan susulan daripada pihak berkuasa.

Berikutan Liong Sik yang dikenakan pertuduhan menipu berhubung skandal PKFZ semalam, Ronnie berkata langkah itu memberikan sedikit kepercayaannya terhadap ketelusan sistem undang-undang negara ini.

"Jika SPRM dan polis ambil tindakan sebegini sejak dahulu, sudah tentu hasil wang kutipan cukai rakyat sehingga hampir RM12 bilion dapat diselamatkan.

"Dakwaan yang dikenakan terhadap Liong Sik merupakan langkah bijak diambil Peguam Negara dan kerajaan Pusat," katanya.

Namun beliau tetap melahirkan keraguannya mengenai hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Liong memandangkan kes berprofil tinggi membabitkan menteri dan orang berkepentingan jarang dikenakan hukuman yang berat.

"Biasa dilihat ‘jerung besar’ yang dihadapkan ke mahkamah seperti kes Eric Chia yang melibatkan RM76 juta wang Perwaja Steel lesap secara misteri dilepaskan begitu sahaja atas alasan tidak cukup bukti," katanya


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails