Friday, July 9, 2010

PRU-13: Calon Melayu perlukan berbilion ringgit?

“Kalau seorang ekonomis seperti Husam mensasarkan jumlah RM200 juta untuk bawa PAS ke Putrajaya, bagaimana pula puluhan ‘ekonomis’ dalam Umno?” kata Syed Azidi yang pernah dilabel sebagai orang kuat Husam ketika berkhidmat di Kelantan sehingga akhir tahun lalu.

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Blogger Kickdefella, yang kini dikaitkan dengan isu perpaduan Melayu selepas meninggalkan Kelantan akhir tahun lalu, melahirkan tanda tanya sama ada berbilion ringgit akan dihabiskan oleh calon-calon Melayu untuk bersaing sesama sendiri ketika pilihan raya umum ke-13.

Dalam tulisan terbarunya, Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, bayangkan betapa banyak wang, masa dan tenaga orang-orang Melayu yang akan dihabiskan untuk tujuan “berperang sesama Melayu.”

“YB Husam Musa berkata dalam ceramah terbukanya di Taman Guru tidak lama dulu bahawa dia akan cari RM20 juta untuk memerangi Umno supaya parti itu tumbang.

“Saya sendiri pernah menulis bahawa Husam memberitahu saya dia perlu dapatkan RM200 juta untuk bawa PAS ke Putrajaya.

“Kalau seorang ekonomis seperti Husam mensasarkan jumlah itu, bagaimana pula puluhan ‘ekonomis’ dalam Umno?” kata Syed Azidi yang pernah dilabel sebagai orang kuat Husam ketika berkhidmat di Kelantan sehingga akhir tahun lalu.

“Berapa bilionkah yang akan dihabiskan supaya calon Melayu boleh lawan calon Melayu dan tewaskan calon Melayu?” katanya lagi.

Mengulas laporan The Malaysian Insider dalam blognya, Syed Azidi menambah, sudah tiba masanya beliau bercakap soal Perpaduan Melayu.

Dalam laporan itu, Syed Azidi menegaskan, pandangan agar beliau menggerakkan kempen “Kickdefellanikaziz”, yang merujuk kepada usaha menyingkirkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai “idea nakal Utusan” semata-mata kerana perpaduan Melayu tidak boleh dicapai hanya dengan menyisihkan Mursyidul Am PAS itu.

Sambil menolak tanggapan bahawa wujudnya gerakan “Kickdefellanikaziz” yang ditujukan kepada usaha menggulingkan Nik Aziz, Syed Azidi berkata, usaha ke arah perpaduan orang Melayu tidak seharusnya membawa kepada perpecahan susulan hanya kerana mengetepikan peranan individu atau golongan tertentu.

“Itu (Kickdefellanikaziz) idea nakal Utusan Malaysia kerana... bagi saya itu satu idea yang nakal, bukan idea jahat tetapi idea yang nakal.

“Falsafah saya, ketika kita bercakap mengenai perpaduan dan penyatuan ke depan orang Melayu, kita bukannya mahu memecahkan lagi orang-orang Melayu,” kata beliau.

Bagaimanapun dalam tulisannya kata Syed Azidi, beliau tidak mahu bercakap soal menyelamatkan Umno.

“Tidak! Saya tidak mahu bercakap soal menyelamatkan Umno atau satu dua pemimpin yang ditolak massa.

“Dulu kita sebenarnya tidak bercakap soal perpaduan Melayu, sebab agenda sebenarnya ialah untuk menyelamatkan kedudukan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno.

“Kemudian kita bercakap soal kerajaan perpaduan, kerajaan tanpa pembangkang. Itu bukan agenda Melayu.

“Itu adalah agenda mengekalkan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri setelah beliau ‘dipaksa’ berundur sebagai Presiden Umno,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, bagaimana agenda mempertahankan Abdullah boleh dianggap agenda perpaduan Melayu.

“Bagaimana agenda yang hanya memanfaatkan Kamaluddin Abdullah dan YB Khairy Jamaluddin boleh di anggap membela Melayu?” katanya.

Bertolak daripada itu, kata bekas pegawai perhubungan awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan ini, agenda Melayu hendaklah dilihat dari sudut-sudut lain.

Katanya, daripada 222 anggota di Dewan Rakyat yang dipilih dalam pilihan raya umum ke-12, komposisi Melayu dan Islam yang berada dalam kerajaan pusat hanyalah 39 peratus.

“Sedangkan jumlah keseluruhan ahli Dewan Rakyat dari keturunan Melayu dan yang beragama Islam ialah 58 peratus dari keseluruhan ahli dewan.

“Ini bererti hampir 19 peratus ahli Dewan Rakyat Melayu dan lain-lain Bumiputera Islam berada di luar kerajaan bersama 17 peratus ahli Dewan Rakyat bukan Melayu, bukan Bumiputera dan bukan Islam membentuk sebuah Pakatan (Rakyat) yang akhirnya menambah sukarnya agenda Melayu dilaksanakan.

“Dari segi matematik, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diyakinkan bahawa, paling banyak DAP dan PKR boleh menambah kerusi Dewan Rakyat dalam PRU akan datang ialah 20 sahaja iaitu 15 kerusi dari MCA, tiga kerusi dari MIC dan dua kerusi dari Gerakan,” katanya.

Ini kerana DAP sudah merampas 26 kerusi majoriti pengundi bukan Melayu di Semenanjung Malaysia dan calon bukan Melayu PKR pula sudah merampas 10 kerusi campuran.

PAS sekarang memiliki 23 kerusi di Dewan Rakyat manakala Umno pula memiliki 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenanginya di Semenanjung.

“Jadi PAS ada peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi dan ada kemungkinan untuk menang lebih besar dari DAP dan PKR. Tetapi itu adalah hanya kemungkinan,” katanya.

Syed Azidi menambah, untuk memperolehi kerusi lebih banyak, PAS perlu menyandarkan nasibnya pada pemilih bukan Melayu dan bukan Islam serta pada waktu yang sama berusaha menyedapkan hati orang-orang Islam dengan menjemput beberapa kerat orang Cina dan India untuk membaca sepatah dua al-Quran kepada orang-orang Islam.

“Serta beberapa kerat ini menyelitkan pula satu dua nama pemimpin besar Islam dalam penjelasan polisi mereka.

“Tetapi yakinkah PAS bahawa pemilih-pemilih bukan Melayu akan membiarkan PAS menunggangi mereka untuk menjadikan Parti Islam Se-Malaysia sebagai parti tunjang Pakatan Rakyat?” katanya lagi.

Selain 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi Umno dan 23 yang dimenangi PAS, katanya, PKR pada suatu ketika memiliki 20 kerusi yang dimenangi oleh calon Melayu Islamnya dan Bebas satu kerusi, yang dimenangi oleh Datuk Ibrahim Ali atas nama PAS.

“Ini beerti terdapat 109 buah kerusi yang akan menjadi perebutan orang-orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia,” kata beliau.

Ibrahim kini merupakan wakil rakyat Bebas.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails