Sunday, July 25, 2010

PR Selangor tak akan bubar DUN jika BN panggil PRU tergempar

BRAVO PR Selangor!!

Maka dengan ini terpaksalah Ezam dan UMNOnya meneruskan kempen ceramah mereka dalam siri kempen 'Selamatkan Selangor Darul Ehsan' selama dua tahun lagi..

Boleh tahan ke tu?? kah.. kah.. kah..

PR Selangor mahu menggunakan tempoh mandat lima tahun sepenuhnya, tanpa mahu terikat dengan rentak BN bagi membolehkannya menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Pakatan Rakyat (PR) Selangor telah memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jikapun Barisan Nasioanl (BN) memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan itu dicapai oleh PR pada mesyuarat pimpinan negeri itu Isnin lalu.

PR Selangor mahu menggunakan tempoh mandat lima tahun sepenuhnya, tanpa mahu terikat dengan rentak BN bagi membolehkannya menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Selangor salah satu daripada empat negeri yang kini diterajui PR. Tiga negeri yang lain ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh memutuskan untuk memanggil pilihan raya negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Yang Dipertua Negeri.

Perdana Menteri pula boleh berbuat demikian di peringkat pusat dengan menperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Lazimnya pilihan raya umum negeri dan pusat akan diadakan serentak.

Bagaimanapun pemerhati dan penganalisis menjangkakan kelainan ekoran perubahan landskap politik negara sejak 8 Mac 2008.

Ketua Penerangan PAS Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir ketika mengesahkan perkara itu berkata, PR memerlukan masa yang secukupnya memandangkan Umno-BN terus-menerus mendakwa pihaknya tidak melaksanakan program yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya.

“Ya, memang kami sudah memutuskan perkara ini pada mesyuarat yang terbaru awal minggu ini... cuma Menteri Besar belum mengumumkannya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Dalam entri blognya semalam di bawah tajuk “Tidak ada kerjasama PAS-Umno di Selangor”, Roslan antara lain menulis, PR mempunyai banyak kerja yang perlu dibereskan selain memperkasakan ikatan PAS-DAP-PKR itu.

“Kerusi-kerusi yang kita kalah mahu kita tawan. Kita mahu meyakinkan para penyokong dan rakyat kita di Selangor bahawa cerita-cerita basi BN akan panggil pilihan raya awal langsung tidak menarik minat kita.

“Bubarlah Parlimen tetapi DUN Selangor akan kekal hingga ke akhir penggal,” kata beliau merujuk kepada kempen Umno-BN sejak kebelakangan ini bahawa PR Selangor telah gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum 2008.

Mengulas lanjut Roslan berkata, memandangkan baru dua tahun PR memerintah Selangor, pihaknya memang memerlukan masa untuk melaksanakan program ekonomi dan sosial yang telah pun diatur.

“Kami tidak mahu terperangkap dengan langkah BN, yang didakwa akan memanggil pilihan raya lebih awal... kami akan meneruskan mandat semasa sekurang-kurangnya sehingga selesainya empat tahun pemerintahan.

“Kami memutuskan pilihan raya negeri hanya akan dipanggil selepas tahun keempat jika perlu, jika tidak kami akan melengkapkan tempoh lima tahun,” kata Roslan lagi.

Mandat semasa akan berakhir Mei 2013.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberitahu The Malaysian Insider bahawa PAS yang mengadakan sesi pemukiman di Port Dickson baru-baru ini telah mengambil pendirian untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akhir tahun ini.

“Kami punya kiraan ialah pilihan raya umum (kemungkinan) diadakan hujung tahun ini,” kata beliau.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider dua minggu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau berharap kesemua negeri sama ada yang dipimpin BN ataupun PR akan mengadakan pilihan raya umum serentak.

Tanda dan bayangan pilihan raya umum tergempar mula muncul dengan Umno-BN memulakan serangan terhadap kerajaan negeri dengan memfokus isu pasir.

Semalam, Umno Selangor telah memulakan penganjuran 19 program ceramah sempena jelajah Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE), yang akan berlangsung hingga 8 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, program ceramah itu merangkumi 19 bahagian Umno di negeri itu, bermula dengan Shah Alam.

Noh berkata, program SSDE fasa satu itu akan memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat Selangor mengenai isu-isu kontroversi termasuk membabitkan dakwaan penyelewengan anggota pentadbiran, tadbir urus anak syarikat yang buruk dan isu peribadi serta moral pemimpin kerajaan PR.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails