Sunday, July 18, 2010

Melayu tetap berkuasa walaupun tanpa UMNO.

KUALA LUMPUR, 18 Julai — PAS Selangor menegaskan pendiriannya menolak sebarang pertemuan Umno-PAS sambil memberi jaminan kuasa Melayu tidak akan hilang jikapun Umno diketepikan dalam pilihan raya umum ke-13.

Oleh itu PAS Selangor pimpinan Datuk Dr Hasan Ali (gambar) berkata, parti itu dan PKR berupaya untuk memastikan kuasa akan kekal di tangan orang Melayu menerusi kedua-dua komponen Pakatan Rakyat itu, yang lebih jujur dan adil.

“Orang Melayu tidak akan hilang kuasa kalau pun Umno sudah tidak lagi memerintah negara ini,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada muktamad PAS 2008 dan 2009, Hasan yang juga Exco kerajaan negeri dan Pesuruhjaya PAS Selangor dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

Mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Roslan berkata, isu perpaduan Melayu yang kembali dijadikan agenda politik oleh Umno dipandang sudah tidak relevan oleh PAS Selangor.

“PAS Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan oleh Umno semata-mata untuk memecahbelahkan perpaduan erat dalama Pakatan Rakyat khususnya di negeri Selangor sejak Mac 2008 sehingga ke saat ini, di mana PAS Selangor semakin selesa dan begitu komited dalam memperteguhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya.

Kata Roslan, orang Melayu di Selangor kini semakin terbuka dan dapat menerima kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan PAS dalam memimpin mereka.

“Umno di Selangor semakin dipinggirkan dan tidak mustahil dengan kepimpinan cemerlang kerajaan Pakatan Rakyat, Umno Selangor akan ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri,” jelas beliau.

Roslan juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat termasuklah akar umbi kini sudah bersedia untuk mengambil alih saki baki amanah kepimpinan Melayu yang dipegang oleh Umno di Selangor untuk digantikan dengan kepimpinan Islam yang lebih adil dan meyakinkan masyarakat.

“PAS Selangor memberi jaminan kepada orang Melayu di negeri ini agar jangan bimbang dan khuatir kerana kiranya Umno hilang kuasa, maka kuasa politik itu akan diambil alih oleh PAS dan PKR,” katanya lagi.

Semalam, Harussan mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Namun Harussani berkata, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails