Thursday, July 1, 2010

Malaysian Pavillion : Berapa yang habis? RM20juta ataupun RM35juta?



Berapa kos sebenar pemibinaan astaka Malaysia di Expo Dunia Shanghai? RM20juta ataupun RM35juta?

Dalam jawapan yang diberi oleh YB Timbalan Menteri Pelancongan kepada ucapan penangguhan saya di Dewan Rakyat semalam, 30 Jun 2010 menyatakan bahawa “Bagi pembinaan astaka Malaysia, RM20juta telah diperuntukkan di mana kos ini adalah termasuk kos reka bentuk, membina, menyelenggara dan merobohkan astaka setelah selesai tempoh pameran.” (
http://teresakok.com/2010/07/01/jawapan-menteri-pelancongan-terhadap-ucapan-penangguhan-saya-mengenai-pavilion-msia-di-shanghai/)

Walau bagaimanapun, apabila saya menyemak jawapan yang diberi oleh Kementerian Pelancongan kepada YB Fong Po Kuan dari Batu Gajah pada 15 Jun 2010, ia berbunyi: “Secara keseluruhannya, negara membelanjakan RM35juta bagi pembinaan dan operasi astaka Malaysia di Ekspo Dunia Shanghai yang berlangsung selama enam bulan.”

Jadi, jawapan manakah yang betul? Apakah kos pembinaan dan penyelenggaraan ataupun operasi sebenar astaka Malaysia di Ekspo Dunia Shanghai? RM20juta ataupun RM35juta?

Berdasarkan jawapan yang bercanggah yang diberi oleh Kementerian Perlancongan kepada dua Ahli Parlimen ini, saya ingin merujuk Menteri Perlancongan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Parlimen 36(12) yang berbunyi: “Mana mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.”

Tetapi, kesalnya, Yang DiPertua Dewan Rakyat YB Tan Sri Pandikar Amin tidak menerima usul saya manakala beliau menyalahkan jawapan yang saling bercanggahan itu kepada pegawai kerajaan yang menyediakan jawapan, selain itu, beliau kata Peraturan Mesyuarat 36(12) haruslah berdasarkan “prima facie” dan samada Menteri mempunyai niat untuk memberi maklumat yang salah kepada Parlimen.

Sehubungan dengan itu YB Tan Sri Pandikar menghendaki pihak kementerian untuk memberi penjelasan tentang jawapan dalam kes ini di Parlimen. Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap keputusan YB Tan Sri Pandikar Amin kerana prinsip yang sama tidak digunakan dalam kes YB Dato Seri Anwar Ibrahim yang dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Saya berpendapat Tan Sri Yang Dipertua seharusnya mengarahkan Menteri Pelancongan untuk memberi penjelasan di Parlimen dan memohon maaf di dewan yang mulia ini, kerana kenyataan Kementerian Pelancongan memang telah bercanggah dengan fasal 36(12) dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Kalau tidak, adalah lebih baik fasal 36(12) dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dimansuhkan.

Teresa Kok

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails