Tuesday, July 13, 2010

Lebih 1,000 cawangan Umno Kelantan haram?

Harakahdaily

KOTA BHARU, 13 Julai: Khamis, 15 Julai adalah tarikh akhir yang diberikan kepada pucuk pimpinan tertinggi Umno untuk menyelesaikan pertikaian mengenai kedudukan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan yang didakwa tidak sah mengikut akta Pertubuhan 1960.

Kemelut yang melanda Umno bahagian Tanah Merah yang gagal diselesai dengan baik sejak lebih setahun lalu menjadi punca sehingga terdedahkan kedudukan cawangan Umno di Kelantan yang didakwa tidak sah. Implikasi dari situasi itu menyebabkan Umno boleh diisytihar sebagai pertubuhan haram.

Demikian dedah akhbar politik Siasah dalam keluaran terbarunya yang kini berada di pasaran.

Satu sumber memberitahu Siasah, kegagalan penyelesaian Umno Bahagian Tanah Merah itu yang memberi implikasi kepada Umno Kelantan dengan membawa perkara itu ke mahkamah terpaksa diambil sekiranya pucuk pimpinan peringkat pusat berdegil untuk menyelesaikannya.

Mengenai kenapa tarikh 15 Julai dijadikan dateline kerana pada tarikh itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaassin dijangka merasmikan persidangan Umno Bahagian Tanah Merah.

“Sekiranya Muhyiddin hadir merasmikan mesyuarat bahagian itu satu laporan polis akan dibuat ke atas Muhyiddin atas alasan merasmikan persidangan Umno yang haram,” kata sumber berkenaan dalam pertemuan eksklusif dengan Siasah baru-baru ini.

Umno bahagian Tanah Merah dianggap dalam keadaan haram bila mana kedudukan ketuanya kini, Datuk Ikhmal Hisyam Abdul Aziz dikatakan tidak sah.

Kedudukan Ikhmal sebagai ketua tidak sah bila mana cawangan yang mencalonkan beliau dalam pemilihan lalu juga tidak sah kerana ianya telah dibubarkan.

Sebagai rekod Umno Bahagian Tanah Merah telah diheret ke mahkamah ekoran kemelut berkenaan. Bekas Setiausaha bahagian, Amran Abdul Rahman telah memohon injuksi di mahkamah tinggi Kota Bharu menghalang Umno bahagian itu menggunakan aset dan dua akaun bank Umno bahagian berkenaan ekoran kesamaran kedudukan Ikhmal itu.

Gara-gara tindakan itu keahlian Amran digugurkan atas alasan membawa perkara itu ke mahkamah dimana ianya bertentangan dengan Perlembagaan Umno yang menghalang ahlinya membawa apa-apa kes ke mahkamah.

Bagaimana pun pemerhati melihat pengguguran Amran itu sebagai untuk menyelamatkan individu tertentu di mana tindakan itu sesuatu yang tidak adil dan melanggar semangat perjuangan parti.

Sekiranya laporan polis ke atas Muhyiddin diteruskan 15 Julai nanti dan masalah cawangan Umno itu dibawah ke mahkamah besar kemungkinan Umno beberapa bahagian di Kelantan boleh diistyharkan tidak sah kerana mesyuarat perwakilan bahagian sebelum ini membabitkan cawangan-cawangan yang tidak sah.

Dalam perkembangan lain satu carian dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di negeri itu tidak sah.

“Daripada 2,181 cawangan Umno di seluruh Kelantan hanya 1,800 saja yang mempunyai fail dengan ROS manakala dari jumlah itu hanya 70 cawangan saja yang sah,” tegas sumber itu.

Laporan penuh sila baca Siasah yang kini berada di pasaran

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails