Wednesday, July 21, 2010

Lain Macam saja kenyataan dia ni..

Hai.. lain macam saja kenyataan dia ni.. nampak selari pulak dengan info yang aku ada. Jangan cari pasal Ustaz..

UMNO, Pas perlu pelan damai

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 20 Julai – UMNO dan Pas perlu mempunyai satu pelan damai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, hasrat itu wajar disegerakan kerana UMNO dan Pas tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan masalah yang telah dihadapi oleh dua parti berkenaan sejak berdekad-dekad lalu.

Tambahan pula, katanya, umat Islam ketika ini terlalu bosan dengan pertelagahan tersebut terutama gelagat pemimpin tertentu yang memburu kepentingan politik dengan mengeksploitasi sentimen kebencian antara UMNO dan Pas.

‘‘Kita juga tidak mempunyai banyak masa. Untuk menjayakan pelan damai yang saya cadangkan ini, semua pihak mesti berlapang dada. Korbankan perasaan dan kemahuan (masing-masing), bertolak ansur mencari noktah damai atau gencatan senjata.

‘‘Laksana kaum Aus dan Khazraj yang bersengketa ratusan tahun akhirnya dengan tali Allah (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW) hati mereka diikat dan ditambat kukuh untuk menjadi ‘satu’ di bawah kanopi Islam,’’ katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam blognya http://episodeperjuangan.blogspot.com dalam artikel yang bertajuk ‘Pelan Damai Untuk UMNO dan Pas’ hari ini

Nasrudin mengakui akibat persengketaan yang panjang itu banyak agenda pembangunan masyarakat dan negara tergendala.

‘‘Banyak agenda membangunkan ilmu pendidikan, pentarbiyahan diri dan masyarakat, tamadun dan peradaban negara serta pertumbuhan ekonomi dan zon sosial yang harmoni tergendala akibat pergeseran dan pertelagahan yang begitu lama tempohnya,’’ katanya.

Kata beliau, selain tidak memberi kebaikan, persengketaan itu turut memberi kelebihan kepada musuh-musuh Islam untuk meneruskan usaha memporak-perandakan perpaduan ummah.

‘‘Masing-masing enggan mengaku kalah dan bertolak ansur. Saling tuding menuding jari antara satu sama lain sementara musuh-musuh Islam tentu sahaja tersenyum lebar melihat persengketaan yang kelihatan seperti tiada tepinya ini.

‘‘Musuh tentunya galak menyuburkan benih persengketaan dan menyalakan api permusuhan sesama kita umat Melayu Islam,’’ katanya.

Beliau di dalam blognya itu turut menyentuh mengenai hubungan UMNO dan Pas dalam konteks hidup berkeluarga.

‘‘Ahli UMNO rata-ratanya Melayu dan beragama Islam dan demikian juga ahli Pas yang sudah pasti berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah seorang ahli UMNO pasti sahaja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli Pas .

‘‘Demikian sebaliknya yang mana ahli Pas juga mempunyai ahli keluarganya dari kalangan UMNO. Persoalannya sampai bila Melayu UMNO dan Pas ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga,’’ katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pengalaman penyatuan Melayu Islam pernah tercatat dalam sejarah politik tanah air apabila Pas menyertai Perikatan.

‘‘Namun 1,001 masalah lampau telah menjadi sejarah apabila akhirnya penyatuan itu gagal dan akhirnya Pas ditolak keluar dari Perikatan pada masa itu.

‘‘Tidak mengapalah pada sejarah lampau. Demi sebuah penyatuan Melayu yang hari ini yang dicanang sendiri oleh para pemimpin UMNO, kita sedia membina sejarah baru khasnya generasi muda hari ini,’’ katanya.

Beliau berkata, Pas boleh melupakan segalanya walaupun parti itu pernah melalui sejarah perit seperti ditolak daripada Perikatan, peristiwa Memali dan pemimpin-pemimpin Pas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), demi penyatuan ummah.

‘‘Sebagaimana Pas boleh melupakan kenyataan serta tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Sebagaimana Pas boleh melupakan kenyataan serta tindakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terhadap Pas sebelum ini apabila beliau mendesak royalti dikembalikan kepada kerajaan Kelantan,” jelasnya.

Maka, tegas Nasrudin, apalah salahnya jika kini UMNO pula mengambil giliran dan langkah serupa seperti dulunya Pas pernah menyertai Perikatan di era Tun Abdul Razak.

‘‘Kini giliran UMNO di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan tangan dan sedia bersama Pas menyertai pakatan pembangkang memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu Islam.

‘‘Agar kita dapat membina sebuah negara yang aman, makmur, sejahtera, adil, telus, saksama tanpa sebarang pertelagahan atau persengketaan yang merugikan umat Islam dan bangsa Melayu itu sendiri,’’ katanya.


Media UMNO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails