Thursday, July 1, 2010

Ketua Cawangan UMNO marah tidak dapat projek

Oleh Muda Mohd Noor

TENOM (Sabah) : Ketua-ketua cawangan Umno bahagian Tenom telah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian dengan mendakwa mereka membolot projek pembangunan di daerah itu.

Mereka mendakwa pemimpin besar Umno dalam bahagian Tenom telah menyapu semua projek besar dan kecil.

Ketua cawangan Kampung Bunut, Jaini Siman berkata, di Tenom dan juga di seluruh negeri Sabah, masalah birokrasi menjadi berlebih-lebihan.

"Kontraktor Bumiputera kelas F sudah tidak boleh mencari makan kerana dibolot oleh orang berpengaruh di bahagian ini.

"Sekarang kelas F dipajak oleh orang bukan Bumiputera terutamanya kaum Cina," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jaini yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Tenom juga mendakwa pemimpin sekarang mula lupa diri dan masing-masing mempunyai kepentingan peribadi.

Katanya, beliau dan ketua cawangan Umno lain di Tenom telah menyuarakan masalah ini kepada kepimpinan Umno Bahagian Tenom tetapi tidak mendapat jawapan.

Sukar mencari makan

"Kami semua marah kerana semakin sukar hendak mencari makan kerana kami semua bergantung kepada projek-projek kerajaan," katanya.

Menurut Jaini, ada kira-kira 100 kontraktor Bumiputera kelas F di Tenom dan masing-masing mengeluh kerana tidak mendapat projek.

Sehubungan itu, katanya pihaknya akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara itu.

"Jika pemimpin atasan tidak menghiraukan masalah kami, kalau apa-apa berlaku jangan salahkan kami," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Umno Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah ketika dihubungi berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai masalah tersebut.

"Jadi dakwaan pemimpin utama bahagian menyapu semua projek saya tidak tahu benar atau tidak.

"Masa saya jadi ketua bahagian, projek pembangunan diadakan secara adil," katanya.

Seorang AJK Umno Tenom memberitahu, dakwaan pemimpin Umno bahagian menyapu semua projek tidak benar sama sekali.

Beliau yang enggan namanya disiarkan juga tidak mahu mengulas lanjut dakwaan tersebut.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails