Wednesday, July 14, 2010

Kerajaan Perpaduan : Najib dan Muhyiddin tidak sehaluan?

Cuba baca dua berita dibawah yang menyentuh tentang kerajaan Perpaduan antara PAS dan UMNO..

Najib berkata UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.

Manakala Timbalan Perdana Menteri pula berkata untuk menjalinkan kerjasama UMNO sedia bertemu PAS terpulang kepada kepimpinan PAS sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.

Najib tidak perlukan PAS.. manakala Muhyiddin pula perlukan PAS.


Kenapa kenyataan mereka bercangah? Adakah ini merupakan titik permulaan bagi kejatuhan Najib ditangan Muhyiddin?? ya lah.. kan Muhyiddin disokong oleh Mahathir dan Perkasa...


Najib: Umno tak lemah hingga perlukan PAS

Datuk Seri Najib Razak berkata Umno mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.
Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berkata PAS harus menghormati Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam, yang merupakan satu daripada teras perjuangan mereka selama ini.

Beliau berkata tiada sesiapa yang harus meragui perjuangan Umno dalam hal tersebut.

"Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan lagi sebab Timbalan Presiden Umno (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telahpun membuat kenyataan. Saya rasa cukuplah dengan kenyataan tersebut.

"Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah, kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di Putrajaya.

Semalam, Muhyiddin menyatakan komitmen serta kesediaan Umno untuk bertemu dan menjalin kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara Umno dan PAS dapati dicapai.

Mengulas lanjut, Najib berkata sama ada kerjasama antara Umno dan PAS itu menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan selanjutnya.

- Bernama



Muhyiddin: Jalin kerjasama, Umno sedia bertemu PAS

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno sedia berbincang dengan PAS sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

Sambil menyambut baik saranan itu, timbalan perdana menteri berkata usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

"Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, berkata terpulang kepada kepimpinan PAS sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.

Semalam akhbar memetik anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.


Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara Umno dan PAS terjalin, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.

"Masyarakat bukan Islam jangan rasa tergugat kalau ada usaha sebegitu kerana selama ini pun dengan kekuatan perpaduan Islam, maka negera lebih terjamin selamat dan tiada masalah," katanya.

Muhyiddin juga berkata kerajaan tidak ada halangan untuk membenarkan siapa-siapa saja menubuhkan pertubuhan asalkan ianya untuk kepentingan rakyat dan negara serta tidak mempunyai muslihat tersendiri.

"Sesiapa sahaja boleh tubuhkan...nak kata Chinese PERKASA ke, Malay ke, Indian PERKASA," katanya mengulas cadangan naib presiden MCA Datuk Donald Lim baru-baru ini yang mencadangkan agar sebuah PERKASA Cina ditubuhkan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails