Monday, July 12, 2010

KeADILan tidak akan lumpuh sekalipun Anwar di penjara

KeADILan diganyang begitu hebat mutakhir ini. Banyak isu panas dibangkitkan media tali barut Umno-Barisan Nasional, antaranya, isu kerajaan negeri Selangor, lompat parti, isu kepimpinan KeADILan, disebarkan oleh bekas-bekas kepimpinan dan ahli parti yang telah keluar.

Media cuba membentuk persepsi bahawa KeADILan akan hancur dan masa depannya dipertikaikan. Apakah situasi yang sebenar di sebalik semua dakwaan ini. Ikuti wawancara HARAKAH, bersama Setiausaha Agung, Parti KeADILan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail di Lobi Parlimen 5 Julai lalu.

HARAKAH : Mutakhir ini, KeADILan diserang cukup hebat terutamanya dalam isu Kerajaan Negeri Selangor, isu perpecahan kepimpinan dan isu lompat parti, boleh saudara jelaskan apa sebenarnya yang berlaku, bagaimana KeADILan boleh bertahan dengan kedaan ini?

SAIFUDDIN : Parti ini (KeADILan) adalah parti yang tumbuh dan digambarkan kerana untuk menyelamatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, ketika berlakunya kemelut dalaman Umno dan pemecatan Anwar pada tahun 1998. Parti ini menghadapi serangan yang panjang sejak mula ditubuhkan.'Point' yang saya nak tekankan ialah KeADILan masih wujud sebagai parti. Sebab apa? Sebab KeADILan memulakan 'new politic' (politik baru) yang lebih segar dan relevan untuk massa. Apa itu 'new politic' yang KeADILan bawa, ialah, ia ada satu penjelasan budaya politik baru yang paling ketara yang membezakan antara KeADILan, Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri.

Dalam isu kerajaan ini KeADILan ambil pendekatan ialah, kita bertanggungjawab kepada rakyat, jika hendak tegur Menteri Besar, tegurlah, kita tidak kisah. Jika hendak tegur bahawa Exco tidak 'competence' tegurlah, tidak ada masalah. Apa pun tiada halangan, tetapi bila datang kepada isu parti, ini kita kena selesaikan cara dalam parti. Inilah yang kini tak menjadi amalan kepada Umno-BN.

Sebab itu kita lihat Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini ketika berucap dalam merasmikan satu mesyuarat Umno Bahagian di Johor, beliau beri amaran kepada rakyat jangan kritik dasar kerajaan.

Kita boleh lihat ini satu tindakan yang tidak terbuka, ini dia sebut ketika rasmi mesyuarat itu Muhyiddin selar sikap orang Melayu yang selar dasar kerajaan dan sokong Pakatan Rakyat.

Ini isu dasar kerajaan, tidak boleh pertikai langsung beratlah. Kita Pakatan Rakyat bertanggungjawab kepada rakyat. Dalam isu parti saya hendak minta sesiapa yang tidak berpuas hati dengan isu dalaman parti, mereka boleh suarakan kepada kepimpinan mengikut saluran. Itu amalan politik baru yang kita buat, dengan segala macam media Umno beri gambaran kononnya banyak pergelutan dalaman yang tak berkesudahan KeADILan.

Juga diberi gambaran tak ada 'clear succesion plan', sebab itu Dato' Seri Anwar Ibrahim ditanya siapa yang akan ganti beliau? Mohamed Azmin Ali ke, Zaid Ibrahim ke? Ini digambarkan dan warnakan kepada KeADILan, untuk itu saya rumuskan saya optimis bahawa KeADILan lalui sepak terajang sepanjang 12 tahun yang lebih berat. Kalau kita boleh lalui 12 tahun apa yang halang KeADILan kita teruskan untuk tahun-tahun ke depan.

Bagaimana KeADILan dapat melepasi tekanan pada saat awal penubuhan?

Pada awalnya, ia ditubuhkan ketika Anwar dikenakan tindakan oleh Umno, ramai yang tidak tahu bahawa yang sertai KeADILan ini, bukan nama besar. Dalam sejarah penuhan parti tiada nama besar kawan-kawan Anwar yang ikut serta ketika Anwar kena tindakan 1998, tak ada seorang pun Menteri, ahli Majlis MT atau Ketua bahagian Umno yang sertai Anwar, cuma seorang sahaja Ketua Pemuda bahagian Umno Teluk Intan 1998, Hamdan Taha tetapi sertai Umno semula, tidak ada seorang pun exco wanita, tetapi 3 exco pemuda Dr Abdul Rahim Ghouse, Roslan Kassim yang kembali semula kepada Umno dan kemudian sertai Perkasa, dan Saifuddin Nasution yang masih kekal.

Ketika itulah parti KeADILan ini ditubuhkan, siapa yang sertainya, aktivis sosial, pekerja, golongan pertengahan, NGO, golongan marhaen, dan, anak muda serta rakyat yang menggerakan reformasi.

Ketika Anwar dalam perjuangannya bergelut dengan Tun Mahathir Mohamad pada tahun 1998, tak ada orang yang dalam Umno hendak sertai Anwar ketika itu, maka parti ini terus bergerak dan dicorakkan oleh kelompok NGO, aktivis sosial, kalangan pencen, sahaja.

Selepas beberapa tahun barulah adanya nama Dr Syed Husin Ali, Dato' Zaid Ibrahim, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Dato' Dr Tan Kee Kwong dan sebagainya.

Apa yang saya nak beritahu ialah pada peringkat awal sangat perit untuk dilalui, dalam mana-mana parti peringkat paling sukar ialah peringkat awal sebab tak tahu bagaimana hendak hadapi, namun akhirnya kami berjaya hadapi dan kini semakin kuat.

Yang orang lupa ialah awal penubuhan sebagai waktu paling sukar, jika kekuatan KeADILan nak dibilang dengan kerusi, bermula Pakatan Rakyat, 31, DAP 28 dan PAS 23 di Parlimen. Kini ada 25 Parlimen dan lebih kurang 40 Dun, apakah Anwar main politik 'divide and rule'?

Tidak, tetapi 'mutiply rule', dia 'grooom more people'. Di sebalik banyak masalah ini saya optimis, saya tengok KeADILan akan kekal menjadi parti yang akan bertahan menghadapi cabaran.

Isu berubah ikut massa, sekarang ini serangan ke atas Selangor kerana ada kepentingan yang sangat tinggi, Selangor ini sebagai satu negeri yang sangat ditumpukan dan penting kepada Umno-BN kerana kini pula Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dipegang oleh Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri selaku Presiden Umno. Mereka serang Selangor habis-habisan mereka harapkan agar Selangor tumbang kerana apa yang penting bagi mereka ialah, Najib selaku Pengerusi Umno Selangor.

Zaman Tun Mahathir dahulu, dia pernah menjadi Pengerusi Umno Kelantan pada tahun 1990 selepas PAS berjaya ambil Kelantan. Dia buat macam-macam nak jatuhkan PAS ketika itu. Hal ini berlaku lagi dengan Najib ambil alih jawatan di Selangor, mereka asak kita, mereka gunakan pelbagai sudut pentadbiran kerajaan negeri dan mereka gunakan pelbagai agensi untuk menyerang dan mengambil tindakan atas kita.

Tetapi insyaAllah dengan apa yang kita buat di Selangor, saya percaya rakyat tahu kita banyak bawa pembaharuan, kita menjadi pembela rakyat, kita menjadi nadi suara rakyat.

Bagaimana kesepakatan dalam Pakatan Rakyat, kini dimainkan isu kononnya Pakatan Rakyat tidak bersatu dan saling berbeza dasarnya?

Saya sebut tadi bahawa wajah politik Malaysia akan datang ia ada dalam KeADILan yang mana membezakan antara KeADILan dengan komponen lain dalam Pakatan Rakyat ialah PAS, Malay dominated DAP multi tetapi majoriti Cina, tetapi KeADILan ini multi yang wajahnya benar-benar multi.

Dari segi kepimpinan MPT Pusat, Ahli-ahli Parlimen, Adun-Adun dan juga pengikut ini ialah wajah politik Malaysia akan datang, rakyat pelbagai kaum parti pelbagai kaum, kita boleh tengok dalam Pakatan Rakyat.

Oleh kerana itulah KeADILan ini menjadi satu rakan penting dalam Pakatan Rakyat. Kerana itulah serangan kuat atas KeADILan berbanding PAS dan DAP kerana kekuatan Pakatan Rakyat bukan kerana suatu parti atau kelemahan KeADILan, tetapi kekuatan kesepakatan, persefahaman, dalam Pakatan Rakyat (dari sudut kepimpinan).

Sama ada kita kata ia political coalition atau poll understanding atau apa sahaja istilah pakatan atau kerjasama politik, tetapi kunci utama kekuatan Pakatan Rakyat ialah semua keputusan dibuat secara konsensus.

Pakatan Rakyat tidak ghairah kepada majoriti. Bukti kekuatan konsensus ini ialah soal fundamental soal agama, institusi Raja, bahasa dan hak istimewa Melayu, ini diberi asas kepada konsensus, ini kekuatannya.

Kalaulah BN kata hendak katakan jika hendak lumpuhkan Pakatan Rakyat mereka anggap perlu lumpuhkan satu parti.

Ujian mereka buat dalam soal lompat parti enam orang yang kemudian Najib terpaksa bagi 'allocation' jepada mereka RM500,000 di kawasan mereka, akhirnya Ahli Parlimen BN juga dapat lebih tambahan.

Mereka ini dapat bantuan kerajaan bebas yang 'BN friendly', jika nak kata kita boleh lumpuh dengan kes lompat ini, sudah tentulah jawatan Ketua Pembangkang beralih kepada DAP sebab KeADILan dah kurang kerusi, sedangkan pada zaman 1999, Ketua Pembangkang ketika itu ialah al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (bekas MP Pendang dan Presiden PAS), kemudian pada tahun 2004 Lim Kit Siang (MP Ipoh Timur-DAP), dan kini walaupun kita selepas menghadapi isu lompat mengakibatkan kerusi KeADILan kurang berbanding DAP, tetapi secara konsensus Pakatan Rakyat meneruskan agar Anwar menjadi Ketua Pembangkang.

Ini berlaku kerana konsensus yang kita amalkan dalam Pakatan Rakyat. Persefahaman ini yang tidak wujud dalam Umno-BN. Rahsia bukan hanya terletak kepada sesuatu parti, bukan kerana kekuatan PAS, kekuatan DAP atau kelemahan KeADILan, tetapi konsensus yang kita adakan.

Pendekatan politik konsensus inilah yang menyebabkan kita semakin kuat. Kita ikat Anwar sebagai PM in-waiting, jika semua lari pun Anwar akan terus jadi Ketua Pembangkang, ini satu yang kuat.

Ini BN kena tahu, harapan kita menjelang PRU-13, kita akan terus bersefahaman. Umno gunakan isu perkauman, tetapi Pakatan Rakyat dah lepasi sempadan perkauman itu.

Majoriti Pakatan Rakyat kita pegang prinsip ini. Penonjolan pendekatan politik yang tidak dijangka oleh semua. Kita bukan soalkan bilangan, ini kita semai dalam Pakatan Rakyat.

Isu perkauman kini Umno-BN gunakan isu negara Islam pula untuk lagakan PAS dan DAP, adakah boleh ulangi zaman perpecahan ketika Barisan Alternatif dulu?

Saya hadiri banyak mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat, prinsip yang kita ambil ialah bila kita senarai perkara yang kita setuju sama-sama dan perkara yang beza pendapat, apa yang kita lihat perkara yang kita setuju bersama adalah lebih banyak.

Perkara yang kita setuju sama ialah Umno-BN menyeleweng, soal rasuah, kerajaan yang korup, zalim dan aniaya rakyat, sistem kehakiman korup, tak boleh tegakkan KeADILan, semua setuju, institusi kerajaan jadi alat BN, semua setuju.

Apa yang tak setuju, ideal perjuangan masing-masing ini semua ada pandangan masing-masing, kita catat apa yang kita tak setuju, tetapi pendekatan kita ialah kita cari perkara yang banyak yang kita setuju bersama, ini kita duduk atas persetujuan yang lagi banyak bersama.

Bagaimana jika berlaku sesuatu kepada Anwar termasuk beliau dipenjara, Anwar selaku ikon Pakatan Rakyat?

Jika Anwar dalam keadaan yang 'worse' (buruk) kembali ke dalam (penjara), kita kena bezakan antara Anwar fizikalnya di luar, dan idealisme yang dibenamkan dalam Pakatan Rakyat.

Yang penting idealisme yang dia semarakkan dalam konteks Pakatan Rakyat, ini lebih jauh penting. Fizikal dia di dalam, tetapi siapa yang boleh sekat idealisme dia dalam Pakatan Rakyat?

Ini akan terus hidup untuk nyawa Pakatan Rakyat, tidak ada yang halang dia sewaktu di dalam penjara untuk terus memacu gerakan rakyat.

Apa yang membezakan Barisan Alternatif dengan Pakatan Rakyat, waktu itu (tahun 1999) hanya merupakan kerjasama politik yang longgar, tiada struktur, mesyuarat hanya sesekali, berbeza sekarang ini (Pakatan Rakyat) kita ada struktur yang jelas.

Kita duduk bermesyuarat hampir setiap minggu dalam setiap bulan. Kini kita ada Majlis Presiden Pakatan Rakyat, dan Sektretariat Pakatan Rakyat. Majlis buat polisi, sekretariat buat kerja.

Ini kita teruskan dan kita lihat ia semakin mantap. Insya-Allah jika sokongan dan dokongan yang baik, yang kita lihat hari ini berjalan baik, kita akan dapat menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Saya yakin dan saya optimis.

Mohd Rashidi Hasan

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails