Friday, July 2, 2010

Buktikan telus, Pemimpin Pakatan desak Felda beri MP taklimat

Kata Husam "Pada waktu Felda hauskan RM200 juta dari Suara Keadilan, rakyat hauskan penjelasan tentang kedudukan Felda. Kehausan ini terus membengkak sekalipun Felda memfailkan sepuluh saman lagi,”

Pemimpin Pakatan desak Felda beri MP taklimat, buktikan telus

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengesyorkan pengurusan Felda agar memberi taklimat kepada kesemua ahli Parliman bagi menjelaskan isu kontroversi berkaitan dakwaan agensi persekutuan itu mengalami kemerosotan simpanan tunai manakala ada pihak yang mendakwa ia di ambang muflis.

Sambil mempertahankan laporan Suara Keadilan bulan lalu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa berkata, jika benar Felda telus dalam urus tadbir kewangan mereka, pengurusan agensi itu patut menjemput wakil-wakil rakyat - kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mendengar penjelasan mereka secara terbuka.

“Jika Felda benar dan perbelanjaannya telus, tidak ada salah menjemput ahli-ahli Parlimen ke satu taklimat Felda. Buka untuk pertanyaan.

“Ajak media ikut sama. Bentangkan penyata yang diaudit. Jelaskan rasional setiap perbelanjaan dan pelaburan,” kata beliau.

Felda mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta serta permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam berhubung laporan akhbar mingguan parti itu, Suara Keadilan, yang mendakwa Felda bankrap.

Selain akhbar milik PKR itu, notis tuntutan menerusi syarikat guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak, turut dihantar kepada penerbit akhbar itu, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd serta pencetaknya, Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

Tuntutan itu dibuat berdasarkan kerosakan reputasi kepada Felda disebabkan tuduhan ianya bankrap yang terkandung dalam Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu.

Pada 16 Jun lalu, kerajaan pusat secara terbuka mengakui simpanan tunai Felda telah merosot sehingga RM1.35 bilion tahun lalu berbanding paras RM4.08 bilion dimiliki pada 2004.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa penurunan simpanan tunai bukan kerana salah urus Felda.

“Kami tidak pernah salah gunakan dana (Felda),” kata Ahmad di Dewan Rakyat.

Ahmad menambah, meskipun simpanan tunai merosot tetapi aset Felda mengalami peningkatan.

“Simpanan tunai menurun RM2.37 bilion manakala aset meningkat RM6.2 bilion,” kata beliau.

Dalam tulisan terbarunya Husam menyoal sama ada rakyat akan diam diri dengan tindakan saman Felda terhadap Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

“Saman Felda, lalu rakyat diam? Saya seronok membaca kenyataan Ahmad Maslan. Felda menyaman PKR dan Suara Keadilan.

“Tajuk berita Suara Keadilan 'Felda Bangkrap' dikira memfitnah Felda,” kata Husam sambil menambah ternyata Felda terdesak menutup perbincangan bagaimana rizab tunai susut “lebih cepat dari paip bocor.”

“Felda memang belum bankrap. Bankrap yang dipakai sebagai tajuk oleh Suara Keadilan juga bukan bermaksud begitu,” kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan ini.

“Saman satu cara. Jika ada pihak yang takut lalu membisu, seronoklah Felda. Cerita ia berbelanja besar akan tertutup,” katanya.

Bagaimanapun Husam berpendapat bahawa ia tidak semudah itu kerana yakin ramai pihak akan membantu Suara Keadlan merangka afidavit memperincikkan pemborosan-pemborosan dan pebelanjaan yang mengeringkan kantong Felda.

“Afidavit ini boleh dipetik pula oleh apa saja media. Mungkin, kesan tidak memihak kepada Felda.

“Itu sebab saya seronok. Ini pelantar pelancaran untuk gerakan membongkar Felda mendapat tempat terhormat.

“Rakyat rasa puas. Keraguan hilang. Keyakinan terbina. Maruah Felda memuncak,” kata Husam.

Katanya sekalipun Suara Keadilan ditakdirkan membayar RM200 juta tetapi ia tidak cukup untuk menampung akaun Felda yang kekeringan.

“Pada waktu Felda hauskan RM200 juta dari Suara Keadilan, rakyat hauskan penjelasan tentang kedudukan Felda.

“Kehausan ini terus membengkak sekalipun Felda memfailkan sepuluh saman lagi,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails