Wednesday, July 28, 2010

Isteri kedua ADUN Lunas mohon sah nikah.

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Syariah Alor Setar menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes tuntutan permohonan pengesahan nikah yang difailkan oleh isteri kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh.

Hakim Syarie Mohd Roze Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas Sharifah Mohd Jahaya, 40, yang mewakili dirinya sendiri memaklumkan bahawa pihak responden, iaitu Mohammad Radzhi Salleh yang juga suaminya tidak hadir, semalam.

Difahamkan, Mohammad Radzhi tidak hadir ke mahkamah kerana notis permohonan dan afidavit tidak dapat diserahkan kepada responden.

Mahkamah memutuskan untuk memberi peluang kedua kepada responden supaya hadir pada hari sebutan semula, setelah mahkamah menolak permohonan notis menyerahkan saman secara penyampaian ganti oleh pemohon.

Mahkamah akan menyerahkan notis secara kendiri, dan sekiranya responden gagal hadir pada hari berkenaan, mahkamah akan memutuskan semula sama ada perlu dikeluarkan waran tangkap kerana mahkamah tetap mahu responden hadir pada hari sebutan kes.

Kes dikendalikan di bawah Seksyen 6 Enakmen Aturcara Mal Islam 1979 Negeri Kedah.

Pasangan ini bernikah pada 23 Oktober 2008 di Thailand berwalikan jurunikah bertauliah dari Wilayah Songkhla dan kini dikurniakan seorang anak perempuan berusia setahun.

Sharifah ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, responden enggan hadir di mahkamah untuk mendaftar perkahwinan mereka, justeru dia membuat permohonan sendiri untuk menjaga kebajikannya sebagai isteri.

“Saya mahu daftarkan pernikahan ini di Malaysia supaya nasib saya dan anak kelak terbela, sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Selebihnya saya tidak boleh ulas kerana tidak mahu mengganggu perbicaraan kes kelak,” katanya.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails