Friday, July 30, 2010

Indira Gandhi tukarkan agama anak Redhuan? Kepada siapa hendak diharapkan?

Oleh : Ustaz Saiful Bahari

Mahkamah benarkan bicara penuh bagi semakan kehakiman tukar agama anak guru tadika

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan perbicaraan secara penuh bagi permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh guru tadika M.Indira Gandhi untuk membatalkan keputusan penukaran agama bagi ketiga-tiga anaknya.

Indira Gandhi yang turut hadir ke mahkamah hari ini memperoleh hak penjagaan bagi ketiga-tiga anaknya iaitu Tevi Darsiny (Ummu Salamah), 13, Karan Dinish (Abu Bakar), 12, dan Prasana Diksa, 2, pada Mac lepas telah memohon untuk mengenepikan penukaran agama Islam daripada agama Hindu terhadap kesemua anaknya yang dilakukan oleh bekas suaminya Mohd Ridzuan Abdullah.

Hakim Zainal Adzam Abdul Ghani membuat keputusan dalam kamarnya di hadapan peguam M.Kulasegaran, N. Selvam dan Chong Xian Ci yang mewakili Indira Gandhi tanpa kehadiran peguam mewakili Mohd Ridzuan.

Pada 24 April 2009, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte oleh Indira Gandhi, untuk mendapatkan hak penjagaan sementara tiga anaknya dan injunksi menghalang bekas suaminya itu daripada memasuki rumah mereka. Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak itu kepada Mohd Ridzuan.

Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan hak penjagaan anak bongsunya Prasana Diksa yang berusia 22 bulan (kini dua tahun) diserahkan kepada Indira Gandhi selepas kes perebutan hak penjagaan itu berlarutan sejak tahun lepas.

- Harian Metro

Pada 1 April, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Mohd Ridzuan supaya mahkamah menangguhkan perintah hak penjagaan anak bongsunya yang diperoleh oleh Indira Gandhi itu.

Kes ini mendapat perhatian ramai kerana wujud konflik antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam menentukan hak penjagaan anak selepas salah seorang pasangan memeluk Islam. Isu ini pernah sampai ke peringkat parlimen bahawa mereka akan mengkaji kes-kes pertukaran agama anak-anak, tetapi tiada langkah konkrit diambil berhubung Akta (Pembaharuan) Perkahwinan.

Sebenarnya inilah kegagalan pemerintah dalam menjaga agama dan umat Islam di Malaysia. UMNO-BN yang diberi kepercayaan bagi menjaga hak-hak umat Islam gagal untuk memartabatkannya bahkan gagal untuk mempertahankan aqidah umat Islam.

Kita sedia maklum hukum hadhanah dalam Islam dan kalaulah keputusan mahkamah Syariah sebelum ini itu diketepikan, apa lagi yang ada bagi umat Islam di Malaysia ini. Mahkamah Tinggi wala’ mereka adalah perlembagaan Lord reid yang menjadi terlalu qudus untuk Negara Malaysia. Sedangkan ianya mengkesampingkan undang-undang dan peraturan Islam yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Mana dia pemimpin-pemimpin yang mendabik dada memperjuangkan hak umat Islam. Mana dia lawyer-lawyer yang hebat-hebat itu? Takkan nak dibiarkan sahaja umat Islam di murtadkan. Kenapa Zulkifli Nordin menjdi bisu kelu. Bukankah beliau amat vokal dalam isu-isu yang seperti ini dulu. Siapakah yang akan membela dan mempertahankan hak-hak seorang bapa seperti Redhuan Abdullah dalam menjaga aqidah anak-anaknya. Bagaimana pula kes-kes yang seperti ini akan datang?

Mana dia NGO2 Islam. Takkan diam membisu sahaja. Janganlah nak diharapkan PERKASA sebab Mohd Redhuan adalah seorang India dan bukannya seorang melayu. Takkan lawyer2 hebat dalam Pas seperti Hanipa Maidin tak boleh membantu. Apa sebenarnya bidang tugas Lujnah Guaman dalam PAS. Kalaulah perjuangan Islam itu menjangkau batas-batas bangsa, maka kini Pas perlu kehadapan membela saudara kita, Mohd Redhuan Abdullah.

Di harapkan Dewan Pemuda Pas membuat sesuatu demi mempertahankan secebis aqidah anak-anak Redhuan Abdullah ini. Kalaulah kerana seorang Natrah, umat Islam digerakkan untuk menyelamatkan aqidah beliau bagaimana dengan 3 anak ini. Kalaulah Tun Salleh Abas meskipun seorang diri pernah membuktikan beliau sanggup mempertahankan aqidah seorang anak perempuan cina di Kota Bharu meskipun beliau akhirnya dipecat.

Sekarang siapa yang nak mempertahankan aqidah anak-anak Redhuan? Takkan nak diharapkan Karpal Singh pulak. Apakah isu ini sensitif kepada Pas demi menjaga kepentingan politik. Bagaimana pula M Kulasegaran yang menjadi peguambela kepada Indira Gandhi. Atas pertimbangan apa ianya dilakukan?

Isu agama ini lebih penting daripada kenaikan harga gula. Lebih utama daripada isu minyak dan gas. Kalaulah Umno sudah tidak boleh diharapkan untuk pembelaan ini. Apakah Pas boleh?


Ustaz Saiful Bahari

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails